Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menunggu laporan rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bagi mengetahui punca seorang guru yang mengamuk dalam satu mesyuarat di sebuah sekolah di Kulim, Kedah baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalathan berkata, tindakan sewajarnya akan dibuat selepas penilaian situasi sebenar dilakukan.

“Guru yg mengamuk di Kedah telah pun ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Saya juga telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri Kedah untuk memberikan laporan.

“Kita akan menilai balik apa situasi sebenar dan ambil tindakan sewajarnya selepas kita mendapat laporan lengkap dr jabatan pendidikan negeri,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Mentransformasikan Pendidikan 2018 di UNITAR.

Ketika ini guru terbabit telah dipindahkan di PPD Kulim Bandar Baharu.

Semalam KPM dalam satu kenyataan menegaskan tindakan ini adalah bagi mententeramkan keadaan emosi guru itu serta menjaga ketenteraman proses pengajaran dan pembelajaran yang berlansung di sekolah berkenaan.

Video yang menunjukkan tindakan guru itu tular di media sosial pada Rabu sehingga menimbulkan keresahan pelbagai pihak.

Dalam pada itu KPM mengingatkan semua guru dan pentadbir sekolah untuk sentiasa menjaga perlakuan serta bertindak secara profesional pada setiap masa.