KUALA LUMPUR: Hasrat seorang guru di sebuah sekolah menengah di Kelantan bersama sembilan ahli keluarganya untuk menunaikan umrah tidak kesampaian apabila menjadi mangsa penipuan pakej umrah sebuah syarikat terkenal di ibu negara, kira-kira empat tahun lepas.

Che Roni Mat, 56, berkata akibat penipuan itu, beliau dan keluarganya menanggung kerugian kira-kira RM95,000.

Lebih menyedihkan, kakak iparnya yang sepatutnya menunaikan ibadah umrah bersama-sama telah jatuh sakit dan meninggal dunia tahun lepas kerana terkejut selepas mengetahui jumlah wang hasil simpanan menjual kuih-muih hilang begitu sahaja.

"Kakak ipar saya kerja kampung saja, hasil jualan kuih sikit-sikit hendak pergi tunaikan umrah, Allahyarham serah pada saya, sangat menyedihkan hasrat beliau hendak mengunjungi Kota Makkah dan Madinah tidak kesampaian kerana meninggal dunia pada Mac 2022," katanya pada dalam sidang media penipuan pakej umrah itu selepas membuat laporan polis di sini pada Khamis.

Che Roni adalah antara 123 mangsa yang membuat laporan polis berhubung penipuan pakej umrah berkenaan dengan jumlah kerugian RM1.3 juta.

Bapa kepada lima anak itu berkata beliau sangat kecewa apabila berkali-kali diperdaya oleh syarikat berkenaan yang menjanjikan penjadualan semula tiket penerbangan dan memintanya membuat bayaran tambahan.

Menurutnya, beliau dan keluarganya membayar RM77,000 kepada syarikat bagi jadual perjalanan pertama dan menambah RM2,000 seorang bagi jadual perjalanan kedua namun enggan membuat pembayaran tambahan sebanyak RM300 seorang bagi jadual perjalanan ketiga kerana mula hilang kepercayaan sebelum terus membatalkan pakej umrah itu sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi Bernama pada Khamis mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut akan dijalankan.

-- BERNAMA