NATIONAL
Guru suruh murid pulang ke China: KPM jalankan siasatan dalaman

Fadhlina (foto) berkata perkara berkenaan diteliti KPM secara mendalam, di samping siasatan yang dijalankan pihak polis. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Tindakan seorang guru yang didakwa menyuruh pelajarnya 'pulang ke China' kerana kurang fasih berbahasa Melayu sedang disiasat Kementerian Pendidikan (KPM).
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiasat tindakan seorang guru yang didakwa menyuruh pelajarnya 'pulang ke China' kerana kurang fasih berbahasa Melayu.
- KPM tidak akan berkompromi dalam soal perkauman di sekolah dan akan mengambil tindakan berdasarkan hasil siasatan.
- KPM juga sedang mengumpulkan maklumat mengenai sekolah yang terkesan akibat banjir untuk usaha membaik pulih.
"Dalam kes ini, siasatan sudah pun berlangsung dan tindakan akan kita lakukan berdasarkan kepada (hasil) siasatan itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 320 murid sekolah rendah sekitar Putrajaya di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Terdahulu, tular klip audio seorang guru didakwa mengaku memberitahu seorang pelajar sekolah menengah untuk pulang ke China kerana tidak memahami bahasa Melayu.
Dalam klip audio itu, seorang lelaki mendakwa saudara kepada pelajar terbabit meminta guru berkenaan mengesahkan jika perkara itu benar dan guru berkenaan mengakui berbuat demikian.
Pada perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM sedang mengumpulkan maklumat berkenaan sekolah yang kini terkesan akibat banjir bagi menyelaras usaha membaik pulih.
"Kita akan terus memastikan bahawa sekolah-sekolah kita ini mendapat bantuan penyelenggaraan dengan segera supaya suasana kondusif dapat kita laksanakan untuk pembelajaran anak-anak," katanya.
Fadhlina turut berkata RM26.4 juta diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang rosak akibat banjir pada Disember hingga Januari lepas.
Pada majlis hari ini, Fadhlina menyampaikan bantuan Hari Raya kepada 320 murid sekolah bagi meringankan beban keluarga mereka menyambut Aidilfitri.
Setiap murid menerima kad hadiah atau baucar membeli-belah bernilai RM100 serta pek sagu hati sumbangan beberapa syarikat swasta yang diselaraskan Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami