KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan solidariti bersama rakyat Poland dan merakamkan takziah kepada keluarga mangsa susulan insiden tembakan di Kraków, yang mengorbankan enam nyawa serta menyebabkan beberapa individu lain cedera.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia turut berdukacita susulan insiden yang meragut nyawa orang awam tidak berdosa dan mencederakan ramai lagi, selain mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap laporan yang mengaitkan penyerang dengan pengaruh fahaman ekstremisme berhaluan kanan.
“Tragedi ini menekankan keperluan untuk memerangi segala bentuk keganasan, termasuk ancaman ekstremisme ganas berhaluan kanan yang semakin meningkat. Tiada ideologi yang boleh menghalalkan pembunuhan orang tidak berdosa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa bagi membendung ekstremisme serta memelihara keamanan dan martabat kemanusiaan.
Dalam kejadian petang Sabtu, seorang lelaki bersenjata yang dilaporkan dipengaruhi ideologi berhaluan kanan ekstrem membunuh enam individu termasuk seorang warga Britain, selain mencederakan ramai lagi di Kraków, bandar kedua terbesar di Poland.
Menurut laporan media antarabangsa yang memetik polis, penyerang memandu kenderaannya ke Dataran Pasar Utama di Kraków sebelum melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
-- BERNAMA