Kerajaan sedang merangka pelan strategik yang akan dibentangkan pada Disember ini bagi mengurangkan beban guru daripada tugas perkeranian.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata selepas pelan itu dibentangkan kepada beliau, para guru akan menerima berita gembira pada awal tahun depan.

“Saya mahu kembalikan zaman kegemilangan guru yang mana guru menjadi ‘Hero Teacher’ kerana mereka menyintai kerjaya mereka malah menyayangi kita seperti anak sendiri dan mahukan kita benar-benar Berjaya.

“Perkara ini sudah mula hilang daripada guru-guru kerana dibebani kerja kerani, saya mahu ubah perkara ini dan kita akan kembalikan zaman kegemilangan guru-guru tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Kebangsaan Peningkatan Standard Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini, hari ini.

BACA: Tayang cerita P. Ramlee, Upin & Ipin, menteri mahu guru lebih kreatif ajar BM di SJK

Beban kerja guru yang terpaksa menanggung tugas kerani merupakan isu yang telah lama diutarakan warga pendidik dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Sebelum ini, Maszlee telah berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut dan menambah baik system pendidikan negara dalam tempoh lima tahun.