PERSIAPAN Terengganu menghadapi saingan Piala Malaysia dan Liga Super menerima berita buruk apabila pemain tengah, Gustavo Lopez terpaksa diketepikan sehingga tamat musim ini selepas mengalami kecederaan serius ketika kekalahan 1-2 kepada Melaka United, Selasa lalu.

Kecederaan menimpa pemain berusia 33 tahun itu bakal merunsingkan ketua jurulatih, Mike Mulvey yang turut kehilangan Ismail Faruqi Ashari yang mengalami kecederaan lutut pada perlawanan sama.

“Ini sesuatu yang merugikan buat pasukan kami kerana kehilangan khidmat Gustavo dan Ismail pada satu masa yang sama.

“Gustavo akan terlepas aksi sehingga tamat musim ini manakala kecederaan Ismail hanya akan diketahui dalam masa beberapa hari lagi kerana perlu mendapatkan pemeriksaan pakar di Kuala Lumpur,” kata Mulvey.

Tambah merisaukan ialah kecergasan pemain pertahanan, Yong Kuong Yong yang tidak menjalani latihan pasukan itu petang tadi sekaligus memberi masalah kepada bahagian pertahanan Terengganu namun pengendali dari England itu enggan menjadikan masalah kecederaan sebagai satu alasan untuk tidak mencapai kemenangan menentang Kelantan, malam esok.

“Ini adalah situasi di dalam bola sepak, apabila kita kehilangan seseorang pemain ia akan memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk membuktikan keupayaan mereka dan mencuri tempat dalam kesebelasan utama.

“Akan ada sedikit perubahan di bahagian pertahanan dengan penggantian dua pemain akibat kecederaan dan penggantungan jadi pemain-pemain yang dipilih akan diberi peluang untuk beraksi dan saya berharap mereka akan membantu kita untuk meraih kemenangan,” katanya.