Seramai 1,023 penternak yang terlibat dalam memusnahkan ternakan unggas bagi mengawal wabak selesema burung atau H5N1 di Kelantan, akan menerima bayaran sagu hati berjumlah RM413,004 sebelum Hari Raya ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata bayaran itu melibatkan pemusnahan 55,451 ekor unggas dan 17,531 biji telur dengan nilai pembayaran sagu hati berkenaan dibayar mengikut jenis unggas dan telur.

"Kita akan buat bayaran secara pemindahan ke akaun bank atau tunai... ia akan dihantar kepada pihak Jabatan Veterinar Kelantan bagi proses pembayaran dan cuba diselesaikan sebelum perayaan ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sepanjang 72 hari pemantauan Jabatan Veterinar, tiada virus H5N1 yang dikesan melalui ujian ke atas 2,843 sampel daripada 565 penternak di Kelantan.

"Kami akan terus melakukan pemantuan terhadap ternakan unggas lain termasuk melaksanakan pengambilan sampel dan sekatan jalan raya bagi mengelak unggas diseludup keluar dari negeri berkenaan,"katanya.

Dr Quaza Nizamuddin berkata pihaknya juga perlu menunggu sehingga hari ke-90 bagi mendapatkan kebenaran daripada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) untuk mengisytiharkan Kelantan bebas daripada wabak selesema burung.

"Pengisytiharan itu penting bagi membuka semula sekatan eksport produk ternakan unggas tempatan ke negara luar. Sekatan itu memberi kesan terhadap eksport ke China dan Jepun yang menggantung pengeksportan produk terbabit.

"Bagaimanapun, kita dapat berbincang dengan pihak berkuasa di Singapura kerana mereka faham geografi kita dan masih melepaskan eksport produk unggas kita. Mereka tahu kebanyakan eksport adalah dari Johor dan Negeri Sembilan jadi, mereka masih membenarkan,"katanya.

Mengenai eksport eksport sarang burung walit ke China yang turut terjejas akibat wabak H5N1, beliau yakin produk itu akan kembali dieksport seperti biasa pada minggu depan.

Menurutnya lima pegawai dari China melakukan pemeriksaan bagi menilai kaedah pengawalan wabak H5N1 yang dilaksanakan pihak industri sarang burung walit tempatan di Malaysia, yang bertujuan mendapatkan kebenaran pengeksportan semula produk itu ke negara berkenaan.

"Industri ini amat penting untuk negara kerana setiap tahun nilai eksport burung walit bernilai RM134 juta. Bagaimanapun, sejak berlakunya wabak burung, kita tidak dapat mengeksportnya ke sana," katanya.

Dr Quaza Nizamuddin berkata beliau juga akan menulis surat kepada pihak berkuasa China dalam masa terdekat bagi menyatakan kesemua 19 loji pemprosesan sarang burung walit adalah bersih dan melepasi dua syarat yang diberikan iaitu setiap produk diberikan rawatan haba dan mengikuti latihan ditetapkan.

Mengenai penyakit hawar berdarah (Haemorrhagic Septicaemia) di Terengganu, Dr Quaza Nizamuddin berkata jangkitan itu mengakibatkan kematian 273 ternakan kerbau dan lembu di kawasan Marang dan Rusila.

"Sebagai langkah pencegahan, kita jalankan vaksinasi terhadap 1,688 ekor bagi memberi daya tahan kepada penyakit tersebut dan kita sasarkan untuk memberi vaksinasi kepada sehingga 3,000 ekor di dua kawasan terbabit," katanya sambil memberitahu sejak tiga hari lepas, tiada kematian baharu ternakan dilaporkan.

Jangkitan itu dipercayai akibat tekanan yang dialami oleh lembu dan kerbau akibat perubahan cuaca secara mendadak daripada musim panas ke musim hujan.

"Sudah lebih 10 tahun penyakit berkenaan tidak berlaku di Terengganu. Jadi, bagi mengelakkan jangkitan ke tempat lain, pihak Jabatan Veterinar juga melakukan kawalan bagi mengelakkan ternakan dibawa keluar dari kawasan berkenaan," katanya.

--BERNAMA