MALAYSIA
Hab ESG perkasa amalan kelestarian 5,000 rakan niaga Prasarana

Pelancaran Vendor ESG Hub membuktikan komitmen Prasarana untuk bergerak seiring dengan vendor ke arah model perniagaan masa depan yang mampan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PETALING JAYA: Hampir 5,000 vendor yang berdaftar dengan Prasarana Malaysia Berhad kini berpeluang memperkukuh daya saing dan kelestarian perniagaan mereka melalui pelancaran Vendor ESG Hub.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, pelancaran itu membuktikan komitmen Prasarana untuk bergerak seiring dengan vendor ke arah model perniagaan masa depan yang mampan.
Jelas Mohd Azharuddin, platform digital itu disasarkan untuk membantu rakan niaga Prasarana dalam melaksanakan amalan perniagaan berasaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Kami dapat melangkah ke hadapan dalam merealisasikan sasaran kemampanan kami di mana kami bekerjasama bukan sahaja dalam Prasarana tetapi juga bersama lebih 5,000 syarikat vendor di bawah Prasarana yang boleh menambah baik amalan ESG mereka.“Ini sangat penting bagi kami kerana kami percaya pada kemampanan, kami percaya ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan dan kami gembira dapat mempengaruhi, mendidik serta memaklumkan rakan kongsi dan vendor kami untuk mereka mempunyai amalan kemampanan yang lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran.
Inisiatif itu adalah susulan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani antara Prasarana dan UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) pada 16 Mei lalu untuk mengukuhkan pematuhan ESG merentas rantaian bekalan.
Portal Vendor ESG Hub menyediakan pelbagai sumber dan alat digital untuk membantu vendor memahami serta melaksanakan amalan ESG secara progresif dan berstruktur, merangkumi empat segmen utama iaitu menilai, inspirasi, belajar dan buat.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar berkata, inisiatif itu mampu memacu pertumbuhan perniagaan vendor, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan memberi mereka kelebihan daya saing dalam pasaran yang semakin menitikberatkan tanggungjawab sosial dan alam sekitar.
“Inisiatif strategik ini bukan sahaja memperkasakan vendor, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing mereka, malah membuka jalan kepada pertumbuhan yang lebih mampan dan bertanggungjawab,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami