KUCHING: Setiausaha Politik di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie menggesa Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) membuat kajian segera mengenai habitat buaya di beberapa kawasan panas di negeri itu.

Jelasnya, tragedi bersiri serangan reptilia itu yang meragut dua nyawa dalam tempoh dua hari di Kampung Kangka, Lundu dan Kampung Trombol, Kuching perlu diambil serius oleh pihak berkuasa.

“Kajian segera ini penting untuk mengenalpasti faktor yang menyebabkan tragedi serangan reptilia ini, adakah ia berpunca kerana habitat terancam atau ekologi terganggu menyebabkan reptilia ini masuk ke kawasan sungai penempatan manusia?

“Atau mungkinkah juga kerana bilangan reptilia itu sudah mencapai jumlah yang banyak kerana berdasarkan maklumat daripada penduduk kampung yang mendakwa terdapat 40 hingga 50 ekor buaya boleh dilihat pada waktu malam di sungai belakang rumah mereka,” katanya selepas menziarahi keluarga mangsa serangan buaya di Kampung Nyabut dan Kampung Kangka baru-baru ini.

Syed Hamzah menegaskan, SFC perlu menjalankan operasi menangkap buaya secara besar-besaran jika jumlahnya meningkat dengan banyak sekaligus mengelak tragedi sama berulang.

“Operasi ini boleh dilakukan kerana buaya di Sarawak bukan lagi disenarai sebagai haiwan liar yang dilindungi apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) di Johannesburg, Afrika Selatan pada tahun 2016 telah membenarkan buaya di Sarawak diburu untuk tujuan komersial.

“Berdasarkan perangkaan yang dibuat pada 2016 sebanyak 13,500 ekor buaya dikenalpasti mendiami lebih 40 sungai utama di Sarawak dan jumlah itu agak membimbangkan berikutan konflik antara reptilia itu dengan manusia yang kerap tercetus,” katanya.

Pada 21 Mei lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dikhuatiri diserang buaya dalam kejadian di Kampung Nyabut Telaga Air.

Ia merupakan kes kedua melibatkan reptilia ganas itu di Sarawak dalam tempoh tiga hari selepas kes pertama di Kampung Kangka kira-kira 30 minit perjalanan dari Telaga Air.