KUALA LUMPUR: Had statutori hutang negara dijangka melebihi 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir Oktober ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, anggaran itu selepas mengambil kira pinjaman bagi membiayai keperluan pembangunan dan Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19).

Setakat akhir Ogos lalu, beliau berkata, paras hutang statutori telah naik sehingga 59.2 peratus daripada KDNK.

"Untuk 2021, (Ahli Parlimen) Kubang Pasu ada menyebut, sekitar 15 peratus tetapi pada tahun ini nisbah liputan bayaran hutang (DSC) berjumlah RM39 bilion atau 18 peratus.

"Sementara untuk 2022, hutang ini dianggarkan RM43.1 bilion seperti disebut beberapa ahli Parlimen, setiap satu ringgit hasil, (sebanyak) 18 sen perlu membayar faedah hutang," katanya menjawab celahan Nga Kor Min (PH-Teluk Intan) ketika menggulung Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 (Akta 830) di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Kor Min meminta penjelasan kementerian sama ada mempunyai roadmap dalam memastikan rakyat Malaysia tidak dibebankan dengan jumlah hutang dan tanggungan kerajaan yang dianggar mencecah RM1.3 trilion.