PETALING JAYA: Orang ramai masih boleh mengunjungi lebih daripada sekali di sesebuah pusat beli-belah dengan syarat tempoh berada di premis berkenaan tidak melebihi had maksimum dua jam sepertimana yang ditetapkan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, kelonggaran tersebut bagi memastikan pelanggan tidak berasa  terbeban dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan.

Jelasnya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung kekangan masa selepas SOP diperketatkan.

"Kalau kita tanya mengenai keselesaan memang mereka nak lebih (masa) tetapi untuk mencapai objektif tertentu perlu ada sedikit kerjasama daripada semua pihak dan penting untuk mereka merancang.

"Biasanya orang yang datang sini sudah biasa dengan pusat beli belah, dia dah tahu di mana kalau nak beli makanan dan bukan tercari-cari dan tidak sepatutnya buang masa.

"Tambahan pula, masa dua jam itu bukan untuk hari itu, kalau ada benda yang sangat penting, (pelanggan) datang lah lagi...

"Tidak apa (datang lebih sekali)... kita tidak sampai nak mengekang kebebasan, cuma kita hendakkan tanggungjawab. Kalau tiada alasan, jangan lah keluar. Kalau dapat, keluar sekali atau dua tiga hari sekali.

"Jangan keluar hari-hari dan pagi petang, itu yang kita tidak mahu," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan operasi had masa dua jam di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di sini hari ini.

BACA: MySejahtera pantau had dua jam pelanggan di premis peruncitan

Mengulas lanjut, Hasnol  berkata pihak berkuasa yang diturunkan kuasa akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan tiada kesesakan berlaku di premis perniagaan.

Mengenai tinjauan di Sunway Pyramid pula, Hasnol berkata pihaknya mendapati rata-rata pelanggan memperuntukkan masa sekitar sejam 40 minit untuk mencari barangan keperluan.

Tambahnya lagi,  KPDNHEP juga menggunakan budi bicara bagi kes-kes tertentu sekiranya mendapati pelanggan terlebih masa berada di dalam premis perniagaan.

"Kita secara rawak telah membuat semakan kepada 230 pengunjung di Sunway Pyramid dan daripada jumlah tersebut, purata mereka berada di pusat membeli-belah ini adalah selama sejam 40 minit. Jadi, ini menunjukkan kepatuhan dan kesedaran adalah pengunjung tinggi.

"Ada juga berada di sini dalam tempoh yang singkat, dan ada satu kes yang menunjukkan dia berada di premis ini selama 20 minit.

"Namun, yang paling lama kita dapati ialah dua jam empat minit, tetapi ini kita anggap sebagai masa kecederaan dan kita tidak kenakan kompaun dan sebagainya, mungkin ada isu-isu seperti kelewatan sedikit dan kita memahami perkara itu," jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Hasnol menyarankan supaya orang ramai menggunakan sebaik mungkin aplikasi MySejahtera dalam memudahkan anggota KPDNHEP dan pihak premis membuat pemantauan sekiranya perlu.

Dalam pada itu, bagi memastikan pematuhan SOP had maksimum, pihak pengurusan Sunway Pyramid melaksanakan beberapa inisiatif termasuk membuat siar raya.

KPDNHEP pada Ahad mengumumkan tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan maksimum dua jam, mengikut SOP Sektor Perdagangan Pengedaran PKP 3.0 yang berkuatkuasa 25 Mei.

Selaras itu juga, semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah wajib mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan seorang bagi setiap empat meter persegi.