Kerajaan negeri Johor tidak akan mempertimbangkan cadangan had umur minimum perkahwinan perempuan diturunkan kepada 14 tahun seperti negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pendidikan negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata berhubung isu berkenaan, satu muzakarah akan diadakan pada masa terdekat, melibatkan agensi terlibat seperti Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), serta mufti.


Jelasnya muzakarah tersebut bertujuan membincangkan had umur perkahwinan di negeri itu, sama ada dikekalkan pada umur 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan ataupun, pertimbang untuk meningkatkan lagi had umur tersebut.

“Sebab kita sedia maklum dalam suasana hari ini, dia ada pro and consnya, atau dia ada keterbatasan dia atau dia ada sebab-sebab tertentu dia, yang memaksa usia mungkin atas sebab tertentulah.

“Kalau itu mungkin dapat kebenaran khas daripada majlis agama Islam maknanya yang untuk di bawah umur kebenaran, buat masa ini memang 16 dan 18,” katanya ketika membuat lawatan ke Sekolah Kebangsaan Sri Skudai Johor sempena bermulanya peperiksaan UPSR.

Seramai 53,971 calon UPSR di Johor, melibatkan 951 buah pusat.

Daripada jumlah tersebut , 35,152 adalah calon Sekolah Kebangsaan, 16,156 calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, seribu 858 adalah calon Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil sementara 958 adalah calon sekolah swasta.

Pada Ahad, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataannya di laman sosial Twitter berkata, cadangan had umur diturunkan kepada 14 tahun adalah tidak masuk akal.

Kenyataan tersebut merujuk saranan yang dibuat oleh Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar yang tidak bersetuju had umur minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun.

Tunku Ismail juga berkata akan pastikan perkara itu tidak berlaku di negeri Johor, dan akan membawa isu tersebut kepada persidangan Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan.