PAS menamakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai salah satu calon untuk jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu selepas presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadap Sultan Selangor.

Ketua Pemuda PAS mendedahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan media yang dibuatnya semalam bagi mengulas isu partinya membuat pusingan U dalam isu Menteri Besar Selangor.

"Tok Guru Presiden PAS mempunyai hubungan agak baik dengan Istana Selangor. Pada Syawal keempat, beliau dititah mengadap Sultan.

"Hasilnya, Presiden membuat keputusan bahawa satu nama alternatif perlu dikemukakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan melibatkan istana dan Dato' Seri Wan Azizah.

Atas pertimbangan-pertimbangan tersebut, PAS mengambil jalan tengah dengan menamakan Azmin Ali (selepas Wan Azizah) sebagai alternatif," katanya.

Suhaizan berkata PAS tidak membuat pusingan 'U' apabila menyatakan sokongan terhadap Wan Azizah dan menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi hanya mengambil jalan alternatif.

"Rancangan awal adalah untuk menerima Khalid sebagai Menteri Besar, berdasarkan keupayaan beliau mentadbir Selangor.

"Berita mengenai kelemahan politiknya, pada pendapat PAS, merupakan masalah dalaman parti yang boleh diselesaikan partinya sendiri," kata Suhaizan.

kesetiaan PAS hanya kepada PKR dan DAP serta bukannya bersama Khalid dan rancangan terbaharu untuk PAS adalah menolak Khalid sebagai menteri besar.

"Jadi, PAS mengambil pendekatan terbaharu dengan menolak Khalid. Inilah yang saya maksudkan dengan kedinamikan PAS dalam membuat keputusan," katanya.