KUALA LUMPUR: Pembangkang terkejut dengan tindakan Kabinet menerima permohonan untuk menghadiahkan sebidang tanah dan sebuah rumah kepada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggarkan bernilai RM100 juta.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terkejut dengan kenyataan itu yang dibuat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Perkara ini tidak pernah dibincang atau dimaklumkan kepada kami dalam sebarang pertemuan dengan wakil pihak kerajaan.

 
Sumber Facebook anwaribrahimofficial

"Rakyat pasti tidak lupa bagaimana Ahli Parlimen Pekan telah mengakibatkan kerajaan dan rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang setinggi RM32 bilion akibat kebobrokan dan kecurangan 1MDB.

"Malah beliau sehingga hari ini tidak dapat menjelaskan bagaimana sejumlah wang dan barang kemas yang dianggarkan bernilai ratusan juta ada dalam milikan beliau dan isteri," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

BACA: Menteri Kewangan sahkan Najib mohon rumah, tanah bernilai RM100 juta

Tegasnya, ia adalah keputusan yang paling tidak bermoral dan langsung tidak masuk akal, jika kerajaan memutuskan untuk ‘menghadiahkan’ tanah dan rumah berkenaan kepada Najib.

"Pada saat rakyat sedang menderita, para doktor kontrak yang masih tidak jelas nasib mereka, anak-anak B50 berdepan pelbagai rintangan dan halangan untuk belajar, dan begitu ramai rakyat Malaysia yang hilang pendapatan, tempat tinggal, malah juga nyawa, tindakan Kabinet untuk ‘menghadiahkan’ tanah dan rumah kepada seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah ternyata keputusan yang paling tidak bermoral dan langsung tidak masuk akal," katanya.

Justeru, katanya keputusan yang amat mengejutkan itu memaksa Pakatan Harapan untuk mengkaji semula segala bentuk persefahaman yang wujud sehingga kini.

Tengku Zafrul hari ini mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Bercakap semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul bagaimanapun, berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.