KUALA LUMPUR: Pihak-pihak tertentu digesa menggunakan ruang yang betul untuk menyatakan pandangan tentang dasar-dasar kerajaan.

Menurut Pengarah Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional (UM Lead) Universiti Malaya, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, antara ruang yang sepatutnya digunakan adalah dengan berhujah di Parlimen.

Namun, jelas beliau, ada pihak yang telah dipilih sebagai Ahli Parlimen tidak menggunakan ruang yang ada sebaiknya.

Lebih malang jelas Dr Anis Yussal, ada antara mereka dilihat kurang menghadiri sidang Parlimen bagi menyatakan pandangan mereka.

"Kalau kritik, komen itu mempunyai asas, mempunyai fakta, banyak saluran yang boleh dibawa, Parlimen contohnya.

"Hari ini pula saya difahamkan ditubuhkan jawatankuasa pilihan khas yang membenarkan kedua-dua bahagian, sekarang Parlimen pula ada jumlah pembangkang dan kerajaan yang hampir lebih kurang nak sama banyak walaupun kerajaan sekarang ada majoritinya.

"Tetapi penglibatan dalam jawatankuasa pilihan khas itu juga penting untuk mereka bincangkan, di situ lah.

"Waktu sidang Parlimen perlu hadir memberi pandangan, jangan ponteng. Perkara ini juga rakyat perlu pantau dan lihat, kalau memberi komen kat luar tapi dalam Parlimen tidak bertanggungjawab," katanya.

Dr Anis Yussal berkata demikian dalam program Agenda AWANI yang membawa tajuk Tolak Perkauman, Semai Perpaduan pada Selasa.

Bercakap soal perpaduan pula, Dr Anis Yussal turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang sering membangkitkan perkara tersebut.

"Adakah benar-benar orang ini mahu kita bersatu padu atau mereka sengaja tidak mahu atau hanya menggunakan perpaduan Malaysia perlu harmoni tetapi sebenarnya mereka tidak berminat?" soalnya.

Beliau menjelaskan, selepas 66 tahun negara menyambut kemerdekaan, masalah perpaduan kaum sudah tidak timbul dan kementerian perpaduan tidak perlu diwujudkan lagi.

Dr Anis Yussal turut menasihatkan rakyat agar tidak termakan hasutan beberapa pihak yang cuba untuk memainkan sentimen perkauman di negara ini.