Penasihat undang-undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun sekali lagi menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar menimbang semula pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam semasa sebutan kes tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

"Sebelum ini pihak kami telah menghantar representasi tetapi ditolak oleh AGC dan kami telah menghantar representasi baharu pada minggu lepas atas alasan yang berbeza," katanya kepada pemberita.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul mengesahkan perkara tersebut.

Pada 15 Julai 2019, Mahkamah Sesyen dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa AGC telah menolak representasi yang dikemukakan Mohd Hafarizam bagi mengkaji pertuduhan terhadapnya.

Hakim Mohd Nazlan menetapkan 3 sehingga 19 Ogos untuk perbicaraan kes itu selepas membenarkan permohonan peguam untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan representasi tersebut.

"Bicara bermula pada 3 hingga 6 Ogos, 10 sehingga 13 Ogos dan 17 sehingga 19 Ogos kecuali pada hari Jumaat," katanya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 12 hari bermula 8 Jun selama tiga minggu berturut-turut kecuali Jumaat untuk perbicaraan kes peguam itu.

Pada 21 Feb tahun lepas, Mohd Hafarizam, 48, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dia didakwa mendeposit dua keping cek daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bernilai RM11.5 juta ke dalam akaun bank milik firma guamannya, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, antara 16 April dan 4 Nov 2014.

Bagi pertuduhan kedua, peguam itu didakwa mendeposit cek bernilai RM3.5 juta daripada Najib ke dalam akaun sama pada 12 Feb 2015.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.

-- BERNAMA