MALAYSIA
Halang urus aset di Jersey: Permohonan Na'imah jadi pencelah didengar 31 Oktober

SPRM failkan permohonan ex-parte untuk halang balu Tun Daim Zainuddin atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan aset luar pesisir. - Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 31 Okt bagi mendengar dan memutuskan permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid untuk menjadi pencelah dalam permohonan yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM selaku pendakwa raya memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) untuk menghalang balu Tun Daim Zainuddin itu atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan aset luar pesisir berjumlah AS$157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan GBP85 juta (kira-kira RM4.9 bilion) yang terletak di Jersey, sebuah wilayah naungan Mahkota British.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan selaku responden telah memfailkan afidavit balasan pada 30 Julai lepas.
"Kami juga telah menerima afidavit jawapan daripada pemohon (Na'imah) dan kami juga tiada halangan untuk mendengar permohonan pemohon," kata Mahadi yang mengendalikan kes bersama Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal semasa prosiding pengurusan kes hari ini.Na'imah diwakili peguam Nurul Najwa Zainuddin.
Pada 25 Jun lepas, SPRM memfailkan permohonan ex-parte itu mendakwa aset berkenaan diperoleh Na'imah atau individu yang mempunyai kaitan dengan beliau di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.
Ini merupakan permohonan ketiga difailkan pihak pendakwaan selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom dan Singapura.
Pada 22 Mei lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mendedahkan bahawa lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Daim, keluarganya dan proksi.
Azam berkata maklumat terkini menunjukkan aset terbabit tidak diisytiharkan semasa siasatan SPRM pada 2023.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami