MALAYSIA
Hampir 1,000 media berkumpul di ibu negara minggu depan sempena AMM ke-58

Petugas Perhubungan Media diberi taklimat menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hampir 1,000 media dari dalam dan luar negara dijangka berkumpul di ibu negara minggu depan bagi membuat liputan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai ini.
Penyelaras Pusat Media Antarabangsa (IMC) Zaria Mohd Nasri berkata Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berperanan sebagai media rasmi dan penyelaras IMC bagi mesyuarat-mesyuarat berkenaan, komited memastikan kerja-kerja menyiapkan ruang kerja media dan sekretariat media berjalan lancar sebagaimana dirancang.
"Kerja-kerja penyediaan seperti ruang kerja, pemasangan peralatan dan pendawaian rangkaian telah dimulakan sejak Selasa lepas oleh pembekal yang dilantik. Alhamdulillah persiapan bagi ruang kerja khususnya sekretariat media telah siap sepenuhnya.
"Setakat ini, hampir 1,000 wakil media termasuk media rasmi, media tempatan dan antarabangsa telah mendaftar untuk membuat liputan mesyuarat-mesyuarat berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.Zaria berkata pihak sekretariat turut memastikan ruang kerja media mencukupi, termasuk kemudahan seperti rangkaian internet berkelajuan tinggi melalui LAN dan Wi-Fi, selain soket kuasa yang mencukupi untuk kegunaan komputer riba.
"Kaunter Help Desk turut disediakan bagi membantu wakil media yang memerlukan maklumat berkaitan mesyuarat sepanjang acara ini berlangsung," katanya.
Zaria berkata IMC merangkumi Penyiaran Antarabangsa dan Pusat Media Antarabangsa.
Beliau yang juga Ketua Sekretariat Media berkata pihaknya telah membuat semakan akhir hari ini bagi memastikan semua kelengkapan sedia digunakan esok, sekali gus membolehkan operasi liputan media berjalan lancar.
Menurut Zaria, pihak sekretariat kini sedang menyusun maklumat-maklumat untuk diedarkan kepada pihak media, termasuk proses akreditasi dan pengambilan pas yang boleh dilakukan bermula hari ini selepas pukul 4 petang bagi media yang telah mendaftar.
Zaria berkata pihak sekretariat turut menyediakan platform untuk pihak media mendapatkan gambar-gambar berkaitan mesyuarat itu melalui https://aseanfoto.bernama.com serta berita-berita mengenai ASEAN melalui https://asean.bernama.com.
Turut diadakan hari ini adalah sesi tinjauan lokasi bagi perancangan liputan media melibatkan media rasmi, manakala esok akan diadakan sesi tinjauan lokasi bersama media domestik dan antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia, diikuti tinjauan lokasi bersama wakil kedutaan pada sebelah petang.
Sebanyak 24 mesyuarat di peringkat Menteri Luar ASEAN akan diadakan, termasuk mesyuarat bersama Rakan Dialog, Rakan Dialog Sektoral ASEAN dan Sekretariat ASEAN.
Mesyuarat itu dijangka dihadiri kira-kira 1,500 delegasi yang diketuai Menteri-Menteri Luar dari Negara Anggota ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Negara Peserta Forum Serantau ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral ASEAN.
Selain itu, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Ke-4 (CEAPAD IV) di sela-sela AMM ke-58, dipengerusikan bersama Jepun bagi membincangkan inisiatif dan usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin.
Malaysia mengambil alih tampuk Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan tahun ini daripada Laos, kali kelima negara memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami