KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menawarkan dan menyediakan kemudahan penginapan di kolej kediamannya kepada seramai 12,920 pelajar bagi sesi akademik 2022/2023.

Pusat Komunikasi Korporat UKM dalam satu kenyataan memaklumkan, data terkini diterima Pusat Perumahan Pelajar (PPP) UKM sehingga 27 Oktober lalu menyaksikan seramai 12,420 atau 96 peratus yang telah mendaftar di kolej kediaman.

“Baki kekosongan ini akan ditawarkan kepada 550 pelajar tahun pertama ambilan kedua bermula 25 hingga 31 Oktober ini.

“Seperti mana diamalkan di semua universiti awam (UA), penginapan pelajar di kolej kediaman diberi keutamaan kepada pelajar tahun pertama dan baki kekosongan pula akan dibuka kepada pelajar senior.

“Berdasarkan rekod, hampir 90 peratus pelajar prasiswazah kini ditawarkan penginapan di dalam kampus. UKM cakna dengan keperluan untuk menambah lagi penginapan bagi pelajar,” kata kenyataan itu, pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, perbincangan dan lawatan bersama kepimpinan universiti dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) ke Pangsapuri Taman Tenaga dan Kolej Idris Al-Marbawi telah bersetuju untuk melaksanakan proses naik taraf premis berkenaan yang usang atau rosak akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Bagi fasa satu, pengurusan tertinggi universiti bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi membaik pulih unit rumah di Taman Tenaga yang boleh menempatkan lebih 450 pelajar.

“Fasa kedua melibatkan perancangan pembaikan sebuah kolej yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Idris Al-Marbawi secara berperingkat. Kedua-dua premis ini juga akan digabungkan menjadi satu identiti kolej baharu setelah proses baik pulih ini selesai,” katanya.

Selain itu, kenyataan itu menambah, UKM juga telah memperkenalkan sistem e-merit bagi memastikan ketelusan dalam pemilihan pelajar bagi penempatan di kolej kediaman yang mengambil kira data menyeluruh penglibatan dan pencapaian dalam aktiviti/program, akademik, B40, badan beruniform dan pelbagai input lain.

“Disamping itu, dalam memastikan kebajikan pelajar terus terbela, Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah menawarkan bantuan-bantuan kepada golongan pelajar B40 seperti (inisiatif terbaru mulai sesi 2022/2023) bantuan sara hidup dan bantuan makanan berjumlah hampir RM900,000 kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.

“UKM melalui HEP-UKM turut menyediakan bantuan pendidikan pelajar bagi menyokong keperluan pendidikan pelajar yang berjumlah RM200 setiap semester.

Pada masa sama, keprihatinan UKM turut merangkumi aspek dan alatan kesihatan bagi membantu pelajar yang memerlukan sehingga RM15,000.

“UKM dengan melalui Skim Tabung Kebajikan Pelajar juga turut menawarkan bantuan kebajikan, khairat kematian, bantuan bencana, bantuan perubatan dengan bantuan sehingga RM10,000 kepada pelajar yang terlibat.

“Pusat Perumahan Pelajar dan Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM sangat mengambil berat berkenaan kebajikan pelajar terutama berkaitan kebajikan pelajar dan akan terus berusaha untuk memastikan kesemua penginapan yang ditawarkan kepada pelajar berada dalam keadaan kondusif dan selesa,” jelasnya lagi.