Hampir 35 peratus daripada 30,075 panggilan yang diterima Befrienders Kuala Lumpur pada 2018 menyatakan keinginan untuk membunuh diri.

Pengarah Eksekutif Befrienders Kuala Lumpur (KL), Kenny Lim yang mendedahkan perkara itu berkata hampir separuh yang menghubungi pihaknya juga adalah mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, masalah hubungan dan masalah keluarga.

Beliau memberitahu panggilan yang diterima oleh Befrienders KL yang terletak di Jalan Templer, Petaling Jaya juga meningkat setiap tahun iaitu 26,927 pada 2017 dan 24,821 panggilan (2016).

"Daripada 30,075 panggilan (2018), 66.2 peratus merupakan golongan wanita, 31.7 peratus lelaki dan 2.1 peratus lagi tidak diketahui," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Bernama.

Mengikut kumpulan umur pemanggil, Lim berkata 19.7 peratus daripadanya berusia 21 hingga 29 tahun diikuti 30 hingga 49 tahun (16.8 peratus), 15 hingga 20 tahun (14.3 peratus), 50 hingga 69 tahun (7.4 peratus), lima hingga 14 tahun (satu peratus), dan 70 tahun ke atas (0.5 peratus).

Lim berkata sebanyak 40.3 peratus pemanggil pula tidak berhasrat untuk menyatakan usia mereka.

Befrienders KL merupakan sebuah pertubuhan bukan berdasarkan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam setiap hari kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.


SKMM bekerjasama dengan lapan syarikat telekomunikasi mengecualikan caj bagi panggilan ke talian Befrienders.


Pertubuhan itu menyediakan perkhidmatan sokongan emosi dalam talian, emel dan temujanji untuk menemui sukarelawan Befrienders secara peribadi selain menganjurkan program 'outreach' dan seminar secara percuma.

"Kami mempunyai 120 sukarelawan. Kami menyediakan tempat yang selamat kepada mereka yang alami gangguan emosi, masalah dalam hidup dan ada keinginan untuk bunuh diri supaya mereka boleh berkongsi masalah mereka tanpa takut untuk dinilai atau dihukum oleh sukarelawan kami," kata Lim yang bersama Befrienders selama 21 tahun.

Beliau juga berterima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah bekerjasama dengan lapan buah syarikat telekomunikasi untuk mengecualikan caj bagi panggilan ke talian Befrienders bermula 1 Ogos lepas.

"Ini memang satu langkah positif kerana mereka yang ingin mendapatkan sokongan emosi, mereka tidak perlu bimbang tentang kos panggilan. Sebab sebelum ini, ada yang bercakap dalam telefon dan kata tiada kredit dalam telefon mereka.

"Langkah ini juga boleh menggalakkan lebih ramai yang mempunyai masalah untuk menghubungi Befrienders," katanya.

Syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam kerjasama itu ialah Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad, TIME dotcom Berhad, U Mobile Sdn. Bhd., Webe Digital Sdn. Bhd. dan YTL Communications Sdn. Bhd.

Befrienders berharap dapat menambah lagi talian dan cawangan di seluruh negara di mana kini hanya terdapat sembilan cawangan di Malaysia iaitu di Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Melaka, Muar, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching selain meningkatkan bilangan sukarelawan.

-- BERNAMA