KOTA BHARU: Hampir 40 peratus doktor dalam latihan kepakaran di Microsurgical Skills Training Centre (MiST) Universiti Sains Malaysia (USM), telah diberi kelayakan untuk berkhidmat dalam situasi klinikal sebenar di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia.
Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata doktor berkenaan menjalani latihan menggunakan model simulasi di MiST sebelum diaplikasikan dalam situasi klinikal sebenar.
Beliau berkata MiST yang terletak di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dibangunkan dengan peruntukan RM1.6 juta bagi menyediakan kemudahan latihan mikrosurgeri yang lebih komprehensif dan sistematik.
“MiST ialah pusat latihan mikrosurgeri komprehensif dan lengkap serta yang pertama seumpamanya dalam kalangan institusi pendidikan tinggi awam di negara ini.
“Projek ini melibatkan penyediaan ruang latihan yang kondusif dan memenuhi keperluan latihan mikrosurgeri. Ia termasuk penambahan mikroskop pembedahan, stesen latihan, internet serta peralatan pembedahan dan pembelajaran bagi menyokong latihan secara individu dan berkumpulan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian MiST di sini semalam.
Abdul Rahman berkata projek yang siap pada 15 Mac lepas itu menyokong latihan dalam pelbagai bidang kepakaran termasuk oftalmologi, ortopedik, pembedahan rekonstruktif dan am, otorinolaringologi, kepala dan leher serta obstetrik dan ginekologi.
Beliau berkata selain menyediakan kemudahan latihan, MiST turut menjadi platform bagi penganjuran kursus, penilaian kompetensi serta aktiviti penyelidikan menerusi kolaborasi dengan institusi dalam dan luar negara.
“MiST mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai pusat rujukan latihan mikrosurgeri pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang pendidikan, latihan, penyelidikan serta inovasi,” katanya.
Beliau berkata kemudahan itu mampu menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti dalam bidang kepakaran perubatan, selain memperluas budaya pembelajaran sepanjang hayat serta merancakkan aktiviti inovasi dan penyelidikan.
“Inisiatif ini juga selaras dengan komitmen USM dalam memastikan penyediaan pendidikan dan latihan perubatan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa,” katanya.
-- BERNAMA