LAHORE: Kakak kepada bekas Perdana Menteri Pakistan yang dipenjarakan, Imran Khan, ditahan pihak berkuasa pada Ahad menjelang siri protes yang dijadual berlangsung minggu depan bagi menyatakan sokongan terhadap pemimpin parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) itu.
Menurut pegawai PTI, Aleema Khanum ditahan di bandar Lahore dan tindakan itu disifatkan parti berkenaan sebagai “penahanan haram.”
Anak lelaki Aleema turut menggesa pihak berkuasa mendedahkan lokasi ibunya serta memastikan beliau dibebaskan dengan selamat.
Perintah penahanan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pesuruhjaya Lahore mendakwa, Aleema menggerakkan penyokong Imran Khan menerusi media sosial dan pertemuan awam.
Dokumen berkenaan turut menyatakan beliau akan ditahan selama 30 hari.
Aleema yang lantang mengkritik penahanan adiknya sebelum ini kerap berucap kepada penyokong PTI serta berinteraksi dengan media mengenai keadaan Imran.
Seorang pegawai polis mengesahkan penahanan itu kepada media, manakala perintah berkenaan menyebut Aleema akan ditempatkan di Penjara Kot Lakhpat di Lahore.
Terdahulu, keluarganya mendakwa gagal menghubungi beliau dan tidak mengetahui lokasi keberadaannya.
“Kami menuntut kerajaan segera mendedahkan lokasi beliau dan memastikan kepulangannya dengan selamat,” kata anaknya, Shahrez Khan menerusi hantaran di platform X.
Penahanan Aleema dilihat mempunyai kaitan dengan protes besar yang dirancang di seluruh Pakistan pada 27 September, apabila para penyokong PTI dijadual berarak ke ibu negara, Islamabad.
Menurut perintah penahanan itu, Aleema didakwa menggerakkan orang ramai untuk “mewujudkan keadaan yang mengganggu ketenteraman awam” selain menghasut orang ramai dengan slogan yang dianggap tidak sesuai terhadap kerajaan.
Ketika ini, jalan-jalan utama di Islamabad dilaporkan telah dipenuhi kontena perkapalan yang ditempatkan sebagai langkah keselamatan bagi melindungi bangunan kerajaan menjelang perhimpunan berkenaan.
Media tempatan turut memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri Pakistan yang menyifatkan protes tersebut sebagai tindakan yang boleh menjejaskan negara, sambil menegaskan kerajaan akan mengambil segala langkah perlu untuk menghalangnya.
Imran Khan ditahan sejak 2023 selepas dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana gagal mengisytiharkan wang hasil penjualan hadiah yang diterimanya ketika memegang jawatan Perdana Menteri.
Sejak itu, beliau berdepan lebih 100 pertuduhan membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk membocorkan rahsia negara dan menjual hadiah milik kerajaan. Imran menegaskan semua tuduhan tersebut bermotifkan politik.
Tahun lalu, bekas bintang kriket yang beralih ke dunia politik itu dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dalam kes rasuah tanah, iaitu hukuman paling berat yang pernah dikenakan terhadapnya.
Sepanjang berada dalam tahanan, keadaan kesihatan Imran dilaporkan semakin merosot.
Bulan lalu, beliau terpaksa mendapatkan pemeriksaan di hospital bagi menilai tahap kesihatannya. - Agensi