Skip to main content

Politik

Anwar imbau perjuangan, hargai jasa perintis reformasi

[TB]_PM Anwar Ibrahim lancar buku Reformasi_FB Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar (dua dari kiri) melancarkan buku Sejarah Ringkas Reformasi - Sejarah Yang Kita Tulis hasil nukilan Animah Ferrar pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC) di Shah Alam, Selangor, pada Ahad. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau kembali perjalanan panjang perjuangan reformasi bersama-sama perintis dan sahabat lama yang melalui pelbagai liku serta pengorbanan.

Anwar dalam catatan di Facebook berkata, beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak pernah melupakan jasa dan pengorbanan mereka yang bersama-sama memperjuangkan agenda perubahan itu.

“Mana mungkin saya dan Azizah melupakan jasa dan pengorbanan setiap daripada mereka kerana tanpa kekuatan, keberanian dan semangat juang kalian, tidak mungkin saya berdiri di sini hari ini memikul amanah sebagai Perdana Menteri,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC) di Shah Alam, Selangor, pada Ahad.

Anwar, bagaimanapun berkata, perjuangan membawa perubahan masih belum selesai dan semangat yang ada perlu terus digilap. 

Perdana Menteri turut menyeru supaya kekuatan dihimpunkan semula dan semangat perjuangan diwariskan kepada anak-anak, keluarga, sahabat serta generasi seterusnya.

Beliau berkata, perjuangan membawa perubahan turut menuntut keberanian, kesabaran dan daya juang yang tidak pernah padam.

“Usia mungkin bertambah dan langkah mungkin semakin perlahan tetapi semangat jangan sesekali pudar kerana kita pernah jatuh, kalah dan menderita, namun kita juga tahu bagaimana untuk bangkit semula. Lawan tetap lawan,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement