IPOH: Polis menahan 496 orang termasuk 120 'tokan' dadah dalam operasi besar-besaran serentak di 32 sarang penagih di seluruh negeri itu, hujung minggu lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya turut merampas sepucuk pistol bersama tiga peluru hidup dalam Op Tapis Khas selama tiga hari bermula 12 tengah malam Jumaat itu.

"Polis menahan 489 orang lelaki dan tujuh perempuan, termasuk 16 warga asing, berumur antara 18 hingga 71 tahun kerana pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan.

"Daripada keseluruhan tangkapan tersebut, seramai 84 orang telah ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah iaitu di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seramai 122 orang bagi kesalahan memiliki dadah, 254 orang penagih dadah di mana 251 orang penagih telah disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Penagih Dadah 1952, tiga orang penagih dadah disiasat di bawah Seksyen 31 Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 oleh pihak Agensi Dadah Kebangsaan (AADK).

"Selain itu, 36 orang ditangkap di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 bagi mengekang aktiviti-aktiviti pengedaran dadah di samping 15 lagi tangkapan terhadap orang yang dikehendaki.

"Daripada keseluruhan mereka, 120 orang dipercayai 'tokan' dadah," katanya katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh pada Isnin.

Mengulas lanjut, katanya 50 orang telah dikenal pasti sebagai penagih tegar yang akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39 (C) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan, jika sabit kesalahan.

Katanya, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai RM67,795 di samping menyita dua buah kereta, sembilan motosikal dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM97,082.