KENINGAU: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk pembangunan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan, yang terus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah tahun ini.
Sehubungan dengan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu setiap pegawai daerah melihat potensi ekonomi yang ada di kawasan masing-masing.
“Ada daerah yang mempunyai kekuatan dalam pertanian. Ada yang mempunyai potensi pelancongan. Ada yang mempunyai sumber marin. Ada juga yang mempunyai potensi dalam industri dan perdagangan. Potensi ini perlu dikenal pasti dan dibangunkan secara terancang.
“Tugas kita ialah memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-29, di sini hari ini.
Hajiji berkata beliau melihat Ekonomi Biru sebagai satu bidang yang mempunyai potensi besar, khususnya di kawasan luar bandar.
“Sabah mempunyai sumber marin, biodiversiti dan kawasan pesisir luas. Potensi ini perlu dimanfaatkan secara berhemah, untuk mewujudkan peluang ekonomi baharu dan meningkatkan pendapatan masyarakat.
“Saya berharap pegawai daerah dapat membantu mengenal pasti potensi tersebut dan memudah cara pelaburan yang sesuai dengan keperluan serta kekuatan setiap daerah,” katanya.
Hajiji berkata untuk tahun ini, kerajaan negeri mempunyai siling peruntukan pembangunan RM12.02 bilion bagi 1,173 program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, tertinggi dalam sejarah Belanjawan Sabah.
“Siling peruntukan itu adalah untuk 241 projek sambungan, manakala 932 merupakan projek baharu namun, semakin besar peruntukan disediakan, semakin besar juga tanggungjawab kita untuk memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan,” katanya.
Justeru, Ketua Menteri mahu setiap Pegawai Daerah memberikan perhatian serius terhadap pelaksanaan projek serta program di daerah masing-masing dan pemantauan perlu dibuat secara berterusan.
“Sekiranya terdapat masalah, ia perlu dikenal pasti lebih awal dan sekiranya berlaku kelewatan, puncanya perlu diketahui dan tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya.
Beliau berkata pegawai daerah dan daerah kecil juga perlu mengubah cara melihat kejayaan pembangunan dan bukan hanya melihat kepada kepada jumlah projek diluluskan.
-- BERNAMA