PASIR MAS: Selepas 16 hari berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong di sini, seorang mangsa banjir Marhami Rosli, 44, sudah tidak sabar lagi untuk kembali ke rumahnya.

Marhami berkata walaupun rumahnya itu yang terletak betul-betul di pinggir Sungai Golok, tidak mewah tetapi tetap dirindui selain lebih selesa di rumah sendiri daripada terpaksa berkongsi kemudahan dengan orang lain di PPS.

"Namun, Alhamdulillah juga kerana di PPS ini kami terselamat daripada bahaya. Makan dan minum kami di sini juga terjaga selain ada pihak yang prihatin datang ke sini menghulurkan sumbangan," katanya ketika ditemui Bernama, pada Selasa.

Marhami merupakan seorang daripada sembilan keluarga terawal yang berlindung di PPS tersebut dan kesemua mereka adalah penghuni paling lama di situ setakat ini.

Menurutnya dia ada pulang menjenguk keadaan rumahnya di Kampung Jeram Perdah baru-baru ini dan terkejut apabila mendapati tiang pada bahagian dapur patah akibat dilanda arus banjir.

"Sedih melihat keadaan rumah saya dengan perabot juga banyak yang rosak. Harap-harap ada pihak yang sudi menyalurkan bantuan untuk membantu meringankan beban kami sekeluarga.

"Air di sekitar rumah masih pada paras lutut. Risau juga saya nak balik sekarang lebih-lebih lagi kalau ada haiwan berbisa seperti ular," katanya yang menyewa di rumah tersebut bersama suami dan tiga anak mereka.

Jirannya, Aishah Salleh, 55, yang merupakan seorang ibu tunggal, menjangkakan sekurang-kurangnya seminggu lagi sebelum air 'banjir termenung' benar-benar surut di kediaman mereka.

Aishah berkata saban tahun kawasan penempatan mereka menjadi tempat paling awal dinaiki air dan paling akhir surut.

"Memang rindu untuk pulang ke rumah kerana sudah tentu lebih selesa berbanding berada di sini, tapi apakan daya beginilah keadaan kami hampir setiap tahun.

"Saya jangka kami akan terus berteduh di sini dalam satu atau dua minggu lagi sebelum boleh pulang ke rumah. Dalam tempoh itu mungkin saya akan ulang-alik cuci rumah yang dinaiki selut," katanya yang berlindung di PPS tersebut sejak 12 Dis lepas.

Tinjauan Bernama mendapati sehingga 2 petang Selasa masih terdapat 178 mangsa daripada 56 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong.

-- BERNAMA