IPOH: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya di Thailand bagi membincangkan isu berhubung keselamatan sempadan kedua-dua negara dalam masa terdekat.

Beliau berkata antara perkara yang akan difokuskan termasuk isu terrorisme berikutan kejadian letupan bom dan tembakan di Tak Bai, Thailand baru-baru ini.

"Kita sedang membuat siasatan dan mengadakan kerjasama yang perlu antara Thailand dan Malaysia untuk mengatasi isu terrorisme ini yang merugikan mana-mana negara.

"Jadi, saya akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Thailand untuk membincangkan antaranya bagaimana untuk memastikan mereka yang kita senaraikan sebagai pengganas sama ada dari sana (Thailand) masuk ke sini (Malaysia) atau mereka yang telah disenaraikan dari Malaysia ke sana (Thailand)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS yang dihadiri Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Selatan Thailand | Insiden bom bertujuan timbulkan kekacauan


Hamzah berkata tiada sekatan perjalanan dikenakan di antara kedua-dua negara berikutan ia menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia dan Thailand untuk melakukan pergerakan namun kawalan sempadan giat dipertingkatkan ketika ini.

"Isu keselamatan ini paling mustahak untuk kita semua menjaga dan minta kalau boleh berhati-hati terutama kalau rakyat Malaysia yang mahu membuat lawatan atau apa sahaja urusan," katanya.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengesahkan tiada pembabitan rakyat Malaysia dalam kejadian letupan bom dan tembakan senjata api di Tak Bai, Rabu lepas.

Sebelum ini, media memetik Bangkok Post melaporkan tiga anggota keselamatan cedera selepas sebuah balai polis marin di Tak Bai diserang dengan individu bersenjata api dan bom tangan dalam kejadian itu.

Serangan bermula 9.35 malam (waktu tempatan), kira-kira enam penyerang membaling bom ke arah balai berkenaan dan melepaskan tembakan dengan raifal automatik.

-- BERNAMA