MESKIPUN digelar nyanyuk, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dilihat seakan tidak terkesan atau marah dengan kenyataan dibuat veteran DAP, Lim Kit Siang, baru-baru ini kepada beliau.

Hanif berkata, beliau masih mengingati perkara penting yang berlaku dalam hidupnya sebagai seorang pegawai polis termasuklah ketika peristiwa diserang Jepun ketika kecil.

“Saya tak lupa Jepun bom saya punya pekan, 24 Disember 1941, 26 Disember 1941. Saya berlari masuk parit di Istana Raja Muda, bawah pokok manggis.

“Saya ingat lagi saya nampak lampu pelita malam-malam, dengar bapa saudara bercakap itu, ini. Saya masa itu masih kecil lagi tapi saya ingat semuanya,” katanya dalam pertemuan eksklusif bersama Sinar Harian di sini, semalam.

Ketika soalan ‘nyanyuk’ diajukan kepadanya, beliau hanya tergelak dan menganggap itu pandangan peribadi Kit Siang.

“Dia nak kata saya nyanyuk, saya tak boleh katakan tidak, itu pandangan dia. Bila benda itu penting kepada kita, kita boleh ingat,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuklah laporan yang mengatakan DAP pernah meminta agar memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian, iaitu pantai timur kepada kaum Melayu dan pantai barat kepada kaum Cina.

Hanif mendakwa, cadangan DAP memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian tetap diingatinya dan beliau menjelaskan maklumat itu diperoleh daripada hasil laporan risikan yang dihantar kepadanya.

Menurutnya, ketika itu beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (Mageran) bermula 16 Mei 1969.

Katanya, laporan tersebut diserahkan kepadanya selepas seorang pemimpin DAP didakwa mengusulkan cadangan tersebut di Eropah selepas berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

“Maklumat tersebut sampai kepada saya melalui polis Cawangan Khas (SB). Ketika itu Tun Mohamed Salleh Ismael merupakan Ketua Polis Negara.

“Dia beri taklimat kepada Mageran setiap minggu tapi kalau ada yang penting sebelum sampai masa taklimat, mereka (SB) hantar kepada saya laporannya.

“Saya juga laporkan kepada Tun Razak (Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein),” katanya.

Baru-baru ini, Kit Siang memberi tempoh dua hari kepada Hanif bagi menjelaskan kenyataan beliau mengenai DAP pernah meminta agar memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian.

Menurutnya, itu merupakan kali pertama beliau mendengar cadangan tersebut dan membuatkan beliau tertanya-tanya samada Hanif sudah nyanyuk atau mempunyai agenda tersembunyi untuk burukkan beliau dan partinya.

Menyentuh ucapannya di Universiti teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini, Hanif berkata, ia bukanlah bertujuan untuk memburukkan DAP sebaliknya hanya perkongsian sewaktu beliau menjawat jawatan Ketua Pegawai Turus (Polis) Mageran.

Berkenaan dakwaan Kit Siang tidak mengetahui cadangan tersebut, Hanif menjelaskan, ketika itu Kit Siang berada dalam penjara kerana ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 18 bulan.

Manakala, berkaitan ucapannya mengatakan beliau yang memasukkan Kit Siang ke penjara, Hanif memaklumkan ia adalah ketika Operasi Lalang 1987 dan bukan sebaik tercetusnya sejarah hitam negara pada 13 Mei 1969.

“Dalam ucapan itu, saya cakap pasal komunis, lepas itu perkauman, bila mulanya. Melayu dengan Cina tidak pernah bergaduh sebelum itu.

“Pada 1987 ada Operasi Lalang, Kit Siang antara yang ditahan oleh saya ketika saya menjadi Ketua Polis Negara. Itu yang saya maksudkan, bukan saya arahkan dia ditahan pada 1969,” katanya.

Mengulas lanjut, Hanif menegaskan beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

“Selepas dia keluar daripada tahanan, saya ada buat rumah terbuka dan dia (Kit Siang) datang ke rumah saya. Masalah peribadi memang tiada, saya dengan siapa pun memang tiada masalah,” ujarnya.