SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) telah menghantar surat-surat berkaitan pelanjutan kontrak secara terus kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya proses dapat disegerakan.

Pengarah UKSB Datuk Fadzil Ahmad berkata jika surat-surat berkenaan diserahkan kepada pegawai bawahan, pihaknya khuatir proses lanjutan kontrak itu akan mengambil masa yang lama.

"Proses lanjutan kontrak perlu dibentangkan di peringkat kementerian, tetapi keputusan dibuat oleh menteri (Ahmad Zahid), sebab itu kami di UKSB bertindak hantar surat pada menteri.

"Kita buat secara 'top down' jadi proses akan dilaksanakan dengan segera," katanya ketika menjawab soalan tambahan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zander Lim Wai Keong.

Ketika ditanya Lim, mengapa UKSB perlu menghantar surat kepada Ahmad Zahid yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Fadzil berkata: "Kelulusan melanjutkan kontrak adalah di bawah bidang kuasa menteri (Menteri Dalam Negeri)".

Semalam ketika membacakan penyataan saksinya, saksi pendakwaan ke-14 itu memberitahu mahkamah bahawa pihaknya ada menghantar tujuh surat kepada Ahmad Zahid antara 2016 dan 2017 berhubung sistem Visa Luar Negara (VLN) bagi mendapatkan sokongan, permohonan pertimbangan serta kelulusan.

Fadzil turut memberitahu mahkamah hari ini bahawa Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani yang juga pengarah UKSB adalah individu yang bertanggungjawab menyerahkan surat-surat syarikat itu kepada Ahmad Zahid.

"Antara skop tugasan Wan Quoris Shah adalah untuk menguruskan surat yang UKSB tujukan kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu iaitu Ahmad Zahid.

"Saya sediakan (surat-surat), kemudian saya akan serahkan kepada Wan Quoris Shah untuk diberi kepada pejabat Menteri Dalam Negeri, tapi tidak pasti dia serahkan secara terus atau tidak," katanya.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-10 Datuk Shahril Ismail iaitu bekas Setiausaha Bahagian (SUB) Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu mahkamah bahawa Wan Quoris Shah ada bertemu dengan Ahmad Zahid di kediaman presiden UMNO itu di Seri Satria, Putrajaya sebelum membuat keputusan menyambung kontrak VLN syarikat berkenaan.

Fadzil berkata pihaknya menghantar surat bertarikh 14 Jun 2017 kepada Ahmad Zahid bagi mengubah permohonan lanjutan kontrak daripada enam tahun kepada tiga tahun bagi mengelak untuk melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

"Pertukaran permohonan lanjutan dibuat (dari enam kepada tiga tahun) selepas menyedari tempoh selama enam tahun perlu mendapat kelulusan daripada UKAS yang akan mengambil masa lama. Jadi, kita buat keputusan untuk pendekkan tempoh lanjutan supaya tidak tertakluk kepada keperluan mendapatkan kelulusan UKAS," jelasnya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 17 Mei.

-- BERNAMA