KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah melaksanakan hantaran laut pertama buah nangka segar Malaysia ke Beijing, China pada Oktober lepas.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam kenyataan memaklumkan penghantaran itu dilakukan bersama Jabatan Pertanian Malaysia, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Dulai Fruits Enterprise Sdn Bhd.

Menurut FAMA, penghantaran itu dibuat selepas buah nangka Malaysia secara rasmi diberikan akses pasaran oleh The General Administration of Customs of the People's Republic of China, (GACC) mulai 11 April susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada April lepas.

"Penghantaran itu bagi mengenal pasti kesesuaian kaedah pengendalian lepas tuai, rawatan, suhu penyimpanan, tempoh ketahanan dan kualiti buah setibanya di destinasi eksport.

"Pembungkusan, pemprosesan, penyimpanan dan pengangkutan buah nangka penghantaran pertama ini dipantau dengan ketat oleh Jabatan Pertanian Malaysia, FAMA, dan MARDI bagi memastikan kualiti dan keselamatan buah serta mematuhi keperluan sanitari dan fitosanitari (SPS) oleh China," menurut kenyataan itu.

GACC telah meluluskan tujuh ladang nangka dan lapan kemudahan pembungkusan eksport komoditi itu ke republik berkenaan dan Malaysia merupakan negara ketiga selepas Thailand dan Vietnam yang dibenarkan untuk mengeksport buah nangka ke China.

Untuk rekod, Malaysia telah mengeksport sebanyak 5,649.82 tan metrik buah nangka bernilai RM15.03 juta pada 2020 dan 7,260.31 tan metrik bernilai RM18.5 juta pada 2021.

Menurut FAMA, pasaran nangka Malaysia tertumpu ke Singapura, Hong Kong, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jerman, justeru momentum kenaikan itu dilihat sebagai penerimaan yang baik kepada komoditi berkenaan di peringkat global.

"Semasa Ekspo ASEAN-China Oktober lepas, KPKM menerusi FAMA telah menghantar buah nangka J33 segar melalui kapal udara ke China bagi mempromosi Nangka Madu J33 sebagai komoditi yang mempunyai nilai tinggi di pasaran China seterusnya Malaysia sebagai hab pengeluar nangka berkualiti di dunia.

FAMA berkata upacara pembukaan dan promosi penghantaran laut pertama buah nangka segar Malaysia telah diadakan di Kawasan Perdagangan Buah-buahan Import, Pasar Xinfadi dan Pasaraya Rainbow, Beijing.

Pengarah Urusan Pasar Xinfadi, Zhang Yuxi berkata ini adalah kali pertama buah nangka Malaysia tiba di pasar itu menandakan satu peringkat pembangunan baharu dalam perdagangan antarabangsa buah-buahan antara Malaysia dan China.

"Kulit buah nangka Malaysia berwarna hijau kekuningan dan berat melebihi 15 kilogram. Isi buah yang lembut, berair, manis, dan harum. Ia kaya dengan nutrisi.

"Pada masa depan, lebih banyak buah-buahan tropikal dari Malaysia akan masuk ke Pasar Xinfadi dan dapat mempelbagaikan pilihan buah oleh penduduk di ibu negara China, Beijing," katanya.

-- BERNAMA