ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata hanya 7,222 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (SADA) di negeri ini mengalami masalah bekalan air semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, yakni sekitar 1.12 peratus daripada 645,041 jumlah akaun keseluruhan.

Beliau berkata kenyataan itu sekali gus menyangkal dakwaan pihak tertentu, termasuk artikel sebuah akhbar yang melaporkan kira-kira sejuta pengguna dijangka menghadapi masalah bekalan air menjelang Aidilfitri.

"Ada dakwaan daripada pihak tertentu yang seolah-olah memberitahu akan berlaku krisis bekalan air besar-besaran pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini di Kedah. Ada laporan akhbar menyatakan sejuta akaun akan terjejas, ini gambaran yang keterlaluan.

"Laporan yang dikeluarkan oleh SADA menyatakan hanya 7,222 akaun pengguna di seluruh negeri yang terjejas dan SADA telah menghantar bekalan air menggunakan lori kepada pengguna berkenaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Kedah di sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak kerajaan Kedah menyelesaikan masalah bekalan air yang berlaku di negeri ini terutama pada musim perayaan yang disebabkan oleh peningkatan jumlah pengguna, selain isu tekanan air rendah dan masalah paip lama.

Muhammad Sanusi berkata pada masa ini terdapat 35 loji rawatan air (LRA) di negeri ini yang merawat kira-kira 1,594 juta liter sehari (MLD) air bersih, melebihi kapasiti yang sepatutnya iaitu 1,458 MLD, namun turut berhadapan masalah air tidak terhasil (NRW) yang tinggi iaitu pada kadar 50 peratus.

Mengulas mengenai perkembangan pembinaan dan menaik taraf lima LRA di Kedah, Muhammad Sanusi berkata pada masa ini empat projek berjalan mengikut jadual, sementara satu projek mengalami sedikit kelewatan.

"Saya dapat laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), LRA Pelubang yang membabitkan kos RM431 juta, kalau ikut jadual sebenar kemajuan fizikal pada 30 April seperti ditetapkan dalam kontrak adalah 12.41 peratus, tapi kemajuan sebenar yang dicapai ialah 13.43 peratus.

"Projek-projek yang lain pun sama lebih kurang macam itu, cuma projek LRA Sungai Limau pada 30 April lepas sepatutnya dia capai 11.39 peratus kemajuan kerja, tapi dia mencapai 10.98 peratus, jadi lewat 0.41 peratus. Kita ambil tindakan untuk panggil kontraktor itu untuk mempercepatkan proses-proses yang patut disegerakan," katanya.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri juga akan meminta Pengarah JKR negeri untuk memberikan penjelasan lanjut berhubung kedudukan sebenar projek-projek berkenaan tanpa menyembunyikan sebarang fakta.

-- BERNAMA