JOHOR BAHRU: Peratusan individu di Johor yang mendapatkan suntikan dos penggalak kedua dilihat masih rendah iaitu 1.9 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Ling Tian Soon.

Justeru, katanya orang ramai disarankan untuk mendapatkan suntikan itu bagi melindungi diri daripada kesan penyakit COVID-19, khususnya mereka yang mempunyai penyakit kronik dan berisiko tinggi.

"Kalau boleh, kita hendak cuba sedaya-upaya meningkatkan jumlah rakyat yang terima dos penggalak kedua dan pergiat lagi program vaksinasi ini," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran projek Akuagro Rukun Tetangga Johor, di sini, hari ini.

Katanya suntikan dos penggalak boleh didapati di hospital kerajaan atau klinik kesihatan yang berdekatan dan pihaknya telah menggunakan pelbagai saluran bagi menggalakan orang ramai mendapatkan suntikan dos penggalak kedua vaksin COVID-19.

Ling bagaimanapun berkata setakat ini kerajaan negeri tidak meletakkan sebarang sasaran suntikan dos penggalak kedua, memandangkan situasi COVID-19 dilihat masih terkawal.

Beliau berkata bagi dos penggalak vaksin COVID-19 yang pertama, sebanyak 56.7 peratus daripada populasi keseluruhan negeri ini telah menerima suntikan berkenaan, setakat ini.

Sementara itu, Ling berkata kerajaan negeri menyasarkan mewujudkan 100 tapak bagi pelaksanaan Program Akuagro Rukun Tetangga Johor dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata sebanyak 34 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh Johor telah mengusahakan program itu yang melibatkan tanaman sayuran dan ikan di dalam komuniti mereka.

"Sebanyak 20 lagi projek tambahan program ini akan dilaksanakan tahun ini dan melalui projek ini sekurang-kurangnya kita dapat membantu menangani masalah sekuriti makanan dalam komuniti, khususnya rakyat Johor," katanya yang turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM230,000 untuk peluasan 20 projek Akuagro RT bagi tahun ini.

-- BERNAMA