MALAYSIA
Hanya 36 peratus rakyat capai simpanan persaraan mencukupi - Amir Hamzah

Kerajaan sedang mempergiat usaha memperkenalkan pelbagai insentif bagi menggalakkan caruman persendirian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
KUALA LUMPUR: Hanya sekitar 35 hingga 36 peratus rakyat Malaysia dijangka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung keperluan hidup pada usia persaraan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, kerajaan sedang mempergiat usaha memperkenalkan pelbagai insentif bagi menggalakkan caruman persendirian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Antara langkah yang dilaksanakan termasuk memperluas penggunaan teknologi digital bagi memudahkan rakyat membuat caruman tambahan secara dalam talian, tanpa perlu melalui proses yang rumit atau membebankan.
"Kalau kita lihat sekarang, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah simpanan untuk zaman persaraan yang masih tidak mencukupi. Ketika ini, hanya sekitar 35 hingga 36 peratus rakyat dijangka mencapai jumlah simpanan yang mencukupi untuk menyara kehidupan selepas bersara.Maka, usaha perlu digandakan bagi meningkatkan kadar simpanan ini. Persoalannya, bagaimana caranya?
"Kita berusaha meningkatkan simpanan ini dengan menggalakkan orang ramai membuat caruman sendiri, bukan hanya bergantung kepada potongan gaji atau sumbangan daripada majikan. Pada masa sama, kita juga memudahkan kaedah simpanan contohnya dengan penggunaan teknologi.
"Jika mereka mahu membuat pemindahan secara dalam talian, semuanya boleh dilakukan dengan mudah. Apabila proses itu tidak merumitkan, orang lebih cenderung untuk menyimpan dan menambah simpanan mereka," katanya dalam Agenda AWANI di sini, pada Selasa.
Tambah Amir lagi, antara golongan yang diberi tumpuan termasuk mereka yang baru menyimpan dan mereka dalam sektor gig, dengan penyediaan insentif yang sesuai.
Menurut beliau lagi, struktur simpanan KWSP juga mengalami perubahan, dengan pengasingan kepada tiga akaun yang memberi fleksibiliti kepada pencarum.
"Kita juga dapat lihat bahawa skim dalam KWSP telah mengalami perubahan. Kini, simpanan telah dipecahkan kepada tiga akaun iaitu ada akaun yang boleh digunakan, ada akaun kecemasan dan satu lagi akaun yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup, contohnya bagi tujuan pembelian rumah dan pendidikan.
"Ini adalah antara banyak usaha yang kita laksanakan dalam menambah baik sistem yang sedia ada, agar wang yang dikumpul dapat bekerja dengan lebih berkesan dan memberi pulangan yang lebih baik kepada pencarum," katanya.”
Dalam pada itu, Amir turut menggesa syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam meneroka peluang baharu, sejajar dengan perubahan landskap ekonomi negara yang kini beralih kepada sektor berasaskan modal intelek dan ekonomi informal.
Menurutnya, pendekatan baharu itu memerlukan fokus terhadap penciptaan peluang, khususnya kepada golongan bekerja sendiri atau mereka yang baru ingin menceburi bidang keusahawanan.
"Kalau kita lihat sektor penjagaan (care giving) di Malaysia masih berada pada peringkat awal pembangunan. Belum banyak pihak yang meneroka industri ini. Ia sebenarnya membuka peluang baharu, tetapi disebabkan masih baharu, tidak ramai yang berani untuk melabur.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami