KOTA KINABALU: Hanya 40 daripada 292 guru di Sabah yang menerima Skim Perkhidmatan Kontrak (COS) pada tahun ini walaupun terdapat keperluan mendesak untuk tenaga pengajar di negeri itu.

Sehubungan itu, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu Kerajaan Persekutuan menangani masalah tersebut dengan mengambil guru-guru anak tempatan Sabah memandangkan proses itu lebih murah berbanding meletakkan guru dari Semenanjung ke negeri di Bawah Bayu berkenaan.

Selain masalah infrastruktur, dan penjagaan kesihatan Ahli Parlimen Semporna itu juga melihat masalah kekurangan guru di Sabah pada tahap kritikal.

Malah tegasnya, beliau akan membawa perkara tersebut ke sidang Dewan Rakyat akan datang.

"Tidak ada sebab mengapa guru-guru ini tidak boleh diambil bekerja kerana ia menyelesaikan kerumitan untuk memindahkan guru dari negeri lain ke Sabah, yang pada dasarnya menanggung kos yang lebih tinggi. Tambahan pula, kerajaan telah berjanji untuk menyokong nisbah guru tempatan kepada guru bukan Sabah pada 90:10 di negeri ini.

"Sangat memalukan apabila kerajaan telah gagal memberi perhatian serius kepada Sabah dalam hal-hal berkaitan pendidikan. Kerajaantidak mendengar masalah dialami oleh rakyat," katanya.

BACA: 2,683 guru CoS 2020 dilantik semula selepas tempoh lantikan tamat Jun ini - Radzi Jidin

Mohd Shafie berkata terdapat juga beratus-ratus sekolah daif di Sabah yang menghalang pelajar sekolah daripada mendapat akses sama rata kepada pendidikan seperti rakan-rakan mereka di negeri-negeri lain.

Katanya, keadaan pengabaian ini juga berlaku dalam kalangan guru-guru Sabah yang layak diberi peluang pekerjaan.

"Demi masa depan kanak-kanak di Sabah, selesaikan masalah ini segara. Kita sedang membina sebuah negara. Mengapa rakyat Sabah tidak mendapat layanan yang sama seperti rakyat Malaysia di Semenanjung? Adakah kita bukan rakyat Malaysia juga?,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu program Let’s Talk bersama Shafie Apdal secara dalam talian pada Khamis malam, beberapa guru menyatakan kesusahan dan kekecewaan mereka selepas gagal menerusi Skim Perkhidmatan Kontrak guru pada 28 Mei lalu.

Sebelum pengumuman itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin telah memaklumkan bahawa terdapat 2,400 kekosongan bagi guru kontrak yang memohon pada tahun 2021.
[TERKINI] 2,683 guru lantikan COS dilanjut tempoh kontrak