IPOH: Bilangan mangsa banjir di Perak terus mencatatkan penurunan kepada 160 orang daripada 43 keluarga, berbanding 193 orang daripada 50 keluarga setakat jam 8 pagi Jumaat.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, hanya daerah Kerian yang masih dilanda banjir dengan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka.

Menurutnya, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak masih kekal dengan seramai 110 orang daripada 26 keluarga.

“Mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu pula seramai 50 orang daripada 17 keluarga," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut jurucakap itu lagi, PPS di SK Matang, Taiping di Daerah Larut, Matang dan Selama telah ditutup sepenuhnya jam 4.30 petang semalam.