MALAYSIA
Hanya enam pulau ditutup, pelancongan di Mersing kekal rancak

Penutupan hanya melibatkan dua pulau dengan aktiviti air, manakala pulau lain masih dibuka untuk pelancongan. -Gambar fail/Bernama
MERSING: Penutupan enam daripada 47 pulau di perairan Mersing bukanlah perkara baharu, sebaliknya langkah itu diambil bagi tujuan pemuliharaan biodiversiti dan faktor keselamatan, kata Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah.
Ringkasan AI
- Enam daripada 47 pulau di perairan Mersing ditutup bagi tujuan pemuliharaan biodiversiti dan keselamatan, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
- Penutupan hanya melibatkan dua pulau dengan aktiviti air, manakala pulau lain masih dibuka untuk pelancongan; pengusaha dan pelawat tidak perlu khuatir.
- Langkah ini menyokong pelancongan lestari dan akan dipantau oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta perlindungan alam sekitar.
"Oleh itu, 355 pengusaha bot pelancongan dan pengangkutan, pengusaha resort serta pengunjung tidak perlu berasa khuatir. Kepulauan lain seperti Pulau Besar, Pulau Rawa, Pulau Tengah, Pulau Tinggi dan lain-lain masih dibuka untuk aktiviti bersesuaian," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan sumber alam sekitar terus terpelihara, selain menjamin keselamatan dan kebersihan persekitaran bagi menyokong industri pelancongan lestari yang menjadi kebitaraan di daerah berkenaan.
Jamil Hasni berkata Mersing mempunyai 97 kepulauan dan batuan terdiri daripada 47 pulau dan 50 batuan, dengan jumlah penduduk sebanyak 80,100 orang (data Jabatan Perangkaan Malaysia 2020).
"Kebiasaannya, aktiviti perairan hanya beroperasi kira-kira lapan bulan sahaja atas faktor keselamatan semasa musim monsun, iaitu pada bulan Mac hingga Oktober.
"Mengikut data yang dikeluarkan Majlis Daerah Mersing melalui sistem MeTOS, jumlah kemasukan pelancong ke daerah ini adalah sebanyak 361,624 orang hingga Ogos lepas, dan angka itu menunjukkan trend peningkatan," katanya.
Beliau berkata pihak kerajaan bersama dengan agensi berkaitan akan terus memantau serta melaksanakan penguatkuasaan sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap undang-undang atau akta ditetapkan.
Terdahulu, Pejabat Daerah Mersing menerusi notis pemberitahuan memaklumkan semua aktiviti selam skuba, selam snorkel dan lawatan ke enam pulau dihentikan berkuat kuasa serta-merta bagi memberikan laluan kepada kerja pemuliharaan biodiversiti marin serta alam sekitar.
Penutupan itu membabitkan Pulau Harimau, Pulau Gual, Pulau Mensirip, Pulau Mertang Timur, Pulau Mertang Barat dan Pulau Mertang Tengah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami