Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan parti dan gabungan politik yang rapuh. Bukan juga parti yang hanya muncul semata-mata mahu memenangi hati rakyat ketika pilihan raya. Sebaliknya ia parti untuk rakyat Sarawak.

Ingatan itu dilontarkan Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di hadapan perwakilan Konvensyen Khas PBB Zon Utara di sini hari ini.

"Parti-parti yang bertapak daripada Semenanjung Malaysia tidak akan memperjuangkan hak dan kepentingan kita, lebih-lebih lagi untuk membangunkan negeri ini," ujar Awang Tengah dalam ucapannya.

Beliau pada masa sama mahu rakyat negeri itu mengimbau kembali prestasi dan janji Pakatan Harapan (PH) yang akhirnya mengecewakan bukan hanya kepada rakyat tetapi juga kepada ahli pakatan itu sendiri.

"DAP dan PKR semasa Pilihanraya Umum yang lepas berjanji untuk mendapatkan 20% royalti minyak dan 50% hasil kutipan cukai di Sarawak dikembalikan ke Sarawak.

"Janji-janji ini tidak ditunaikan. Disebabkan itulah ramai pemimpin DAP termasuk wakil rakyatnya keluar parti," ujarnya lagi.

Justeru beliau mahu rakyat Bumi Kenyalang sedar hakikat sebenar dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada PBB dan rakan parti dalam GPS untuk mentadbir Sarawak mengikut acuan sendiri.

"Kita tidak mahu diperbodohkan.

"Kita ini adalah orang yang pandai, orang yang bijak, orang yang berakal," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa konvensyen khas berkenaan.

Konvensyen dihadiri 961 perwakilan dari 17 cawangan PBB iaitu Murum, Jepak, Tanjung Batu, Kemena, Samalaju, Bekenu, Lambir, Piasau, Pujut, Senadin, Marudi, Telang Usan, Mulu, Bukit Kota, Batu Danau, Ba’kelalan dan Bukit Sari.

Bertemakan Hak Sarawak Dipertahankan, Pembangunan Diperkasakan, konvensyen sehari ini akan dirasmikan oleh Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.