"Hanya Tuhan dapat menghukum mereka yang telah melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini."

Demikian luahan perasaan suami kepada mangsa wanita warga emas yang maut ditetak di leher di kediamannya di Taman Lake View, Taiping pada malam Jumaat.

Mangsa yang berusia 68 tahun itu merupakan isteri kedua kepada seorang individu kenamaan bergelar 'Datuk' yang aktif dalam bidang kebajikan.

Datuk tersebut yang enggan dikenali berkata isterinya merupakan seorang pesara ketua jururawat hospital dan mereka telah berkahwin selama 36 tahun.

"Saya amat sedih apabila menemui keadaan isteri yang maut dikelar dan meninggal dunia dalam keadaan sebegitu.

"Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah dan saya serahkan kepada-Nya untuk memberikan mereka hukuman setimpal," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HRPB, Ipoh pada Sabtu.

Pada pagi Sabtu, Astro AWANI melaporkan seorang wanita warga emas maut ditetak di bahagian belakang leher di kediamannya di Taiping dan dua suspek dipercayai saudara terdekat yang mempunyai hubungan dingin dengan keluarga mangsa telah ditahan.

Rungkai misteri

Dalam pada itu, polis masih lagi cuba merungkai misteri sebenar di sebalik kes pembunuhan kejam tersebut kerana terdapat beberapa percanggahan klasifikasi kes samun berdasarkan pemeriksaan awal.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harrith Kam Abdullah berkata pihaknya mempercayai ia mempunyai kaitan dengan konflik keluarga namun masih memerlukan sokongan bukti kukuh.

Katanya, pihak polis mengesyaki perlakuan samun tersebut hanyalah sebagai lakonan kerana barang-barang kemas milik mangsa ditemui bertaburan di atas meja solekan dan katil sejurus penjenayah beredar.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan sementara menunggu keadaan suami mangsa kembali stabil berikutan kes pembunuhan tersebut.

"Kita menahan suspek tersebut di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari bermula Sabt dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Jelasnya pihaknya amat mengharapkan kerjasama orang ramai yang melihat kejadian berkenaan untuk segera menghubungi pihak polis bagi melancarkan siasatan