IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak menolak secara total cadangan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen, yang kononnya membebankan kerajaan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, mereka bersedia untuk menerima perubahan.

Bagaimanapun, katanya, segala perubahan yang hendak dilakukan mestilah tidak kurang daripada faedah yang dinikmati sekarang.

“Maknanya, formula ini perlu situasi menang-menang, kerajaan tidak menganggap sebagai satu beban, pada masa sama penjawat awam mendapat kelebihan dalam bentuk perubahan yang ingin dibuat oleh kerajaan.

“Justeru itu bukanlah satu isu kepada Cuepacs tetapi Cuepacs mempertahankan perkataan tetap dan berpencen ini adalah terbaik untuk penjawat awam.

“Tetapi jika nak buat penambahbaikan, ia hendaklah bermula boleh dibuat penambaikan tapi dalam konteks perkataan ‘no less favourable’, tidak kurang faedah daripada apa yang kita pada hari ini,” katanya.

Beliau ditemui dalam majlis penyampaian bubur lambuk anjuran Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani Dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) di Ipoh, pada Jumaat.

Beliau mempertahankan bahawa skim pencen bukanlah beban, sebaliknya  hak penjawat awam yang telah dicarum ke dalam Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Sebelum ini, Kabinet dilaporkan bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Bagaimanapun, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).