MALAYSIA
Harap Statut Rom dapat ditandatangani suatu hari nanti - Mukhriz

MUKHRIZ: Mungkin kita dapat perjelaskan kepada rakyat secara keseluruhannya mengenai apa sebenarnya Statut Rom itu.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berharap suatu hari nanti kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat menandatangani Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) setelah ia diperjelaskan kepada rakyat.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah memaklumkan, isu Statut Rom bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti oleh rakyat kerana sama sekali tidak menjejaskan kedaulatan negara dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
"Akhirnya mungkin kita dapat perjelaskan kepada rakyat secara keseluruhannya mengenai apa sebenarnya Statut Rom itu.
"Ia bukan suatu yang perlu kita takuti, bukan akan menjejaskan kedaulatan negara mahupun kedudukan raja raja kita. Ia satu pekara yang baik yang buat masa ini terpaksa tidak ditandatangani," ujar beliau.
Mukhriz mengulas kenyataan dua menteri Kabinet iaitu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang tampil mempertahankan kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Statut Rom.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Penambahbaikan Prosedur Pemajuan dan Bayaran-bayaran Pemajuan di Negeri Kedah di Alor Setar, Kedah, pada Ahad.
Bengkel anjuran Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah itu diadakan selama tiga hari bermula hari ini, melibatkan kerajaan negeri, Persekutuan dan pemegang taruh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami