Selepas kemangkatan Pakatan Rakyat (PR), satu parti baru dengan nama Gerakan Harapan Baru (GHB) telah muncul sebagai ubat kepada segala permasalahan yang wujud hari ini. GHB jika mengikut skrip DAP, akan bergabung bersama DAP dan PKR untuk membentuk Pakatan 2.0 atau Pakatan Baru. Pakatan Baru ini pula mendapat suntikan tenaga apabila Anwar Ibrahim daripada penjara Sungai Buloh melalui peguamnya memberikan lampu hijau.
Situasi ini menyebabkan PAS semakin dipinggirkan walaupun sebagai parti yang begitu besar dan berusia lama, sudah tentunya pengaruh parti tersebut tidak boleh dilenyapkan begitu sahaja. Perkembangan-perkembangan ini memberikan gambaran bahawa satu gabungan baru mengantikan Pakatan Rakyat(PR) hampir pasti.
Sekali pandang, muka-muka yang bersama GHB, sememangnya merekalah komrad seperjuangan dalam banyak isu yang melibatkan isu rakyat. Puak GHB nampaknya lebih selesa dan mesra dengan imej negara kita sebagai sebuah Negara majmuk pelbagai etnik.
Namun saya ingin mempertengahkan beberapa persoalan dan kritikan. Adalah diharap kritikan saya tidak disalahtafsir sebagai penulisan “penulis upahan UMNO” iaitu satu “tagline” selesa yang sering diguna oleh beberapa orang dalam pembangkang setiap kali mereka dikritik. Isu yang ingin dipertengahkan adalah sejauhmana apa yang disebutkan sebagai Harapan Baru bersedia menangani masalah lama.
Dalam keadaan politik Negara kita dan urus tadbir dibawah Najib Tun Razak, nampaknya puak yang memerintah mengalami tentangan yang paling hebat dari dalam, sehinggalah Perdana Menteri harus menyingkirkan Timbalannya dan beberapa orang Menteri untuk membuat satu rampasan kuasa lembut untuk memastikan semua Institusi penting seperti Peguam Negara, Polis dan Institusi Kewangan berada di bawah kawalan penuhnya dan menari kepda rentak yang sama.
Pada masa yang sama, nampaknya pihak pembangkang begitu lemah sekali dan Tun Mahathir dalam usia 90 tahun seolah-olah dilihat segelintir sebagai hero untuk menyelamatkan Negara. Dalam masa yang sama, satu kumpulan yang membicarakan harapan baru telah muncul. Masanya tepat sekali tetapi banyak soalan masih perlu dijelaskan. Tidak memadai hanya sekadar mengambil posisi ABU (Asalkan Bukan UMNO) kita membangkang BN-UMNO. Rakyat harus mendapat penjelasan sepenuhnya apakah itu GHB atau apakah bezanya PR 2.0 dan kita juga tidak perlu telan apa-apa sahaja yang dihidangkan kepada kita.
Untuk menyelesaikan masalah politik Negara, kita memerlukan satu pertukaran pemimpin. Untuk menyelesaikan masalah salahtadbir Negara, kita memerlukan satu parti baru tetapi untuk menyelesaikan kesengsaraan rakyat, kita memerlukan satu sistem baru.
Menyelesaikan isu-isu pokok
Maka ada dua isu yang GHB harus selesaikan iaitu bagaimana menyelesaikan kesengaraan rakyat dan isu kedua yang begitu penting di Negara kita iaitu isu Persoalan Nasional iaitu isu-isu yang melibatkan persoalan bahasa, budaya dan agama.
Namun isu pertama iaitu untuk menyelesaikan kesengaran rakyat berkait langsung dengan sistem ekonomi acuan neo-liberal kapitalisma yang dianuti di Negara kita dan yang dipercayai oleh BN dan juga PR. Sistem ini mementingkan kepentingan Pelabur, mengagungkan pengswastaan, mempromosi percukaian regresif seperti GST, meminggirkan isu alam sekitar dan sering setuju dengan perjanjian antarabangsa seperti TPPA.
Namun perjuangan rakyat melawan sistem ini dilemahkan pula oleh perpaduan rapuh kerana kita sering bertelingkah dalam isu-isu perkauman seperti isu hudut, Negara Islam, bahasa ibunada, isu penukaran agama dan sebagainya.
Maka tidak gunalah kita mengatakan kita adalah harapan baru jika isu-isu asas dan fundamental ini tidak ditangani. Contohnya isu hudut dan Pilihanraya Kerajaan . Alasan mengapa tidak ada persefahaman dalam Pakatan Rakyat dalam isu-isu ini adalah kerana ia berakarumbikan isu perkauman. Maka GHB mahupun Pakatan 2.0 harus mempunyai posisi tentang isu-isu ini dan mereka tidak boleh ambil langkah pintas dengan berkata, “ kita setuju untuk tidak setuju” (We agree to disagree).
Dalam banyak isu, terutamnya isu-isu pokok, memang PR mempunyai kontradiksi yang serius. Contohnya dalam isu TPPA, posisi PR adalah lebih kepada mahu transparensi tetapi tidak ambil posisi membantah sepenuhnya TPPA kerana mereka masih mahu berjinak dengan kapitalis Amerika Syarikat dan antarabangsa. Dalam isu gaji minima, contohnya Lim Guan Eng meminta pekerja asing dikecualikan dari diberi gaji minima dan posisi ini bercanggah pula dengan PKR. Begitu juga ada kerajaan Negeri PR yang mempromosi Pelancongan kesihatan (health tourism) walaupun langkah tersebut akan melemahkan Institusi hospital awam. Bagaimana pula dengan polisi alam sekitar? Apakah posisi GHB atau lain-lain parti PR 2.0 mengenai isu Nukluer umpamanya? Maka ini adalah beberapa isu yang perlu mereka memberi jawaban kerana kita tidak mahu PR 2.0 masih dengan kontradiksi dan kelemahan yang wujud dalam PR 1.0.
Politik Pergabungan
Isu kedua yang ingin dilemparkan oleh saya adalah mana-mana parti yang ingin memerintah, hanya boleh berbuat demikian melalui politik pergabungan . Dengan lain perkataan, mustahil untuk mana-mana parti samada DAP, PAS , PKR mahupun GHB untuk membentuk kerajaan secara solo atau persendirian. Ini memang difahami oleh mereka semua dan memang politik pergabungan menjadi sebahagian daripada resepi politik Negara.
Jika kita melihat gabungan-gabungan politik pembangkang sebelum ini. Kita boleh rumuskan seperti carta dibawah:
Jika kita melihat semua gabungan baik gabungan haluan kiri seperti PUTERA-AMCJA , Barisan Sosialis mahupun Gabungan Pembangkang Kanan seperti Gagasan Rakyat & APU, Barisan Alternatif dan sehinggalah Pakatan Rakyat, maka satu perkara yang cukup nyata dan ketara adalah mereka tidak dapat menyelesaikan isu-isu berjurus kepada persoalan nasional dan perkauman; mungkin parti-parti ini sendiri selesa memainkan agenda perkauman untuk mendapatkan sokongan di kawasan pengaruh masing-masing.
Sejarah mengajar kita bahawa pakatan pembangkang pecah kerana isu bahasa, isu sekolah Vernakular , isu hudut dan isu Negara Islam. JIka Pakatan 2.0 tidak menangani isu ini, maka sudah pastinya, ia juga akan mengalami nasib yang sama.
Contohnya kalau kita mengambil Barisan Sosialis Rakyat Malaya atau (MALAYAN PEOPLE SOCIALIST FRONT) sebagai satu contoh. Ia merupakan pada awalnya satu gabungan yang cukup kuat dengan kombinasi Parti Buruh dan Parti Rakyat. Mereka juga mempunyai satu program yang cukup hebat. Antara dasar perjuangan mereka yang penting adalah Semua perbezaan mengikut perkauman adalah salah. Rakyat hanya harus dipisahkan antara penindas dan mereka yang ditindas. Mereka juga mengusulkan Satu bahasa untuk menyatukan kaum pekerja dan Membina satu Bangsa Malaya melalui budaya, seni dan kesusasteraan yang mempunyai kaitan langsung dengan massa dan rakyat
Namun demikian Fron Barisan Sosialis mengalami pelbagai masalah dalam persoalan bahasa dan budaya.. Pada tahun 1965, wujud perpecahan antara Parti Rakyat(PR) dan Parti Buruh(PB) atas isu budaya dan bahasa. 4 isu yang menjadi konflik dua parti ini adalah i) Isu bahasa dan budaya. Bahasa kebangsaaan vs bahasa ibunda. PR setuju dengan Laporan Rahman Talib dimana ia dibantah oleh PB. ii) Isu kesamarataan dan hak ethnik iii) Isu hak keistmewaan orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan iv) Menghakmilikan ekonomi negara. Disebabkan gagal mengatasi masalah ini, Barisan Sosialis berpecah pada tahun 1966.
Namun selepas Mei 13 dan Dasar Ekonomi Baru(DEB), parti-parti baru yang wujud terus membentuk gabungan tetapi kesemua gabungan ini berpecah kerana isu agama dan bahasa. Malah gabungan parti selepas DEB pula tidak berlandaskan perjuangan kelas seperti dalam era sebelum kemerdekaan atau dalam tahun 1960an.
Konflik yang tidak dapat diselesaikan oleh Gagasan Rakyat&APU, kemudiannya Barisan Alternatif dan sekarang Pakatan Rakyat adalah isu mengenai isu Negara Islam dan Hudut. Maka Harapan baru atau Pakatan 2.0 tidak harus menyapu semua ketidaksamaan ini dibawah tikar dan hanya cuba menang dengan sentimen popular seperti isu guna MDB dan cincin Rosmah
Keistimewaan PUTERA -AMCJA
Namun dalam situasi hari ini, Anwar Ibrahim dan GHB sering mengatakan bahawa gabungan baru ini adalah gabungan parti politik dan NGO. Beberapa nama NGO juga dilontarkan seperti BERSIH , IKRAM, ABIM dan lain-lain. Namun demikian, tidak ada setakat ini sebarang perbincangan atau dokumen yang dibinangkan . Semuanya samar-samar sahaja.
Maka adalah penting kita cuba belajar dari gerakan PUTERA-AMCJA sebagai satu gabungan kerana ia juga adalah kombinasi parti politik dan NGO. Bezanya adalah mereka mengambil masa yang begitu lama, mengadakan diskusi di pelbagai peringkat, di kawasan kampung dan Bandar untuk mengeluarkan satu dokumen yang dipanggil Perlembagaan Rakyat. Selain itu mereka juga Berjaya menganjurkan hartal SeMalaya pada 20 Oktober 1947. Tindakan ini tidak ada lagi bandingan kuasa rakyat yang ditunjukkan oleh mereka pada masa itu berbanding dengan kita. BERSIH walaupun dapat turunkan ribuan rakyat tetapi ia lebih fokus kepada Lembah Klang dan Bandar-bandar sahaja.
PUTERA-AMCJA Berjaya mengabungkan pelbagai gerakan yang radikal, nasionalis dan Islam dalam satu program yang dapat menangani isu perkauman dan agama. Mereka mendapat sokongan kuat dari bandar dan luar Bandar. Antara organisasi dibawah AMCJA adalah Kesatuan Kekeranian, Dewan Perniagaan India, Kesatuan Sekerja Nasional PMFTU yang mengorganisasi dua pertiga keseluruhan kaum pekerja berbanding dengan MTUC yang hanya mempunyai sokongan 6% kaum pekerjahari ini; manakala PUTERA pula diwakili oleh API, AWAS, BATAS (Barisan tani) , HIZBUL MUSLIMIN dan GERAM (Gerakan Angkatan Muda)
Antara pencapaian mereka ialah persetujuan 10 prinsip rakyat yang mereka terbitkan. Yang lebih anih adalah Gabungan AMCJA yang majoritinya bukan Melayu telah mengusulkan
antaranya usul mengenai agama Islam dan adat perlu dibawa orang Melayu sendiri dan mereka juga usulkan perhatian khas harus diberi kepada kemajuan orang Melayu dan jika dilihat usul yang dibawa oleh PUTERA yang boleh diterima oleh AMCJA adalah Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan dan Kerakyatan Malaya harus dinamakan “Melayu”.
Jika kita meninjau pada ketika itu, dua isu menjadi isu pertelingkahan iaitu isu soal kerakyatan (Jus Soli) yang AMCJA sokong tetapi PUTERA keberatan dan begitu juga isu nama kerakyatan dimana PUTERA mengusulkan Melayu manakala AMCJA pula Malayan.
Namun atas kebijaksanaan Dr. Burhanuddin Helmy, Tan Cheng Lock dan Ahmad Boestaman mereka berjaya mencapai satu kompromi dimana kerakyatan dibuka kepada semua dengan syarat semua menerima konsep Negara sebagai Melayu. Dengan kompromi dan tolak ansur, mereka berjaya menyelesaikan satu isu perkauman dengan amat bijak sekali. Penyelesaian mereka bukan pecah masyarakat kepada dua golongan tetapi mencari penyatuan bersama.
JIka PUTERA-AMCJA tidak dihancurkan melalui Darurat 1948 yang dibawa oleh British untuk membolehkan UMNO memerintah, maka kita akan berdiri dibawa Perlembagaan Rakyat dimana kita tidak lagi dipanggil Melayu, Cina, India dan lain-lain dan kita semua akan mempunyai satu identiti.
Maka apa yang kita perlukan hari ini adalah perbincangan serius isu-isu utama dan perbincangan isu-isu pokok supaya masalah yang melanda kita tidak berulang dan berulang dan berulang....Ini adalah cabaran untuk harapan baru dan Pakatan rakyat 2.0. Harapan baru harus berani menghadapi masalah lama dan cuba mengatasinya.
*S. Arutchelvan adalah Ahli Jawatankuasa Pusat PSM
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
S Arutchelvan
Fri Aug 14 2015
GHB jika mengikut skrip DAP, akan bergabung bersama DAP dan PKR untuk membentuk Pakatan 2.0 atau Pakatan Baru, kata Arutchelvam (depan). - Foto Fail Astro AWANI/Shahir Omar
Kenaikan tambang feri ke Langkawi bagi warga Malaysia dibatalkan
Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd membatalkan kenaikan kadar tambang feri yang dijadualkan dikuatkuasakan 1 Januari depan susulan nasihat Kementerian Pengangkutan (MOT).
PM Thailand ke Putrajaya esok, perkukuh hubungan dua hala
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak memegang tampuk kerajaan pada Ogos lalu atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Elaun kekal RM8 sehari, tak wajar bincang sekarang - Khaled
Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengekalkan kadar elaun RM8 sehari untuk peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan bermula bulan depan.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kenaikan elaun itu tidak wajar dibangkitkan ketika ini berikutan program berkenaan belum bermula.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kenaikan elaun itu tidak wajar dibangkitkan ketika ini berikutan program berkenaan belum bermula.
[TERKINI] SAPP bebas membuat keputusan keluar PN - Ahmad Zahid
Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Parti Maju Sabah (SAPP) bebas membuat keputusan untuk keluar daripada Perikatan Nasional.
Kongres Khas PKR lulus pindaan perlembagaan parti dengan sokongan lebih dua pertiga perwakilan
Kongres Nasional Khas PKR 2024 hari ini meluluskan kesemua pindaan perlembagaan berkaitan proses pemilihan parti.
SAPP keluar, PN Sabah lemah
Pada PRN Sabah 2018, PN memenangi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan logo sendiri.
Pada 2022, ahli Parlimen yang bertanding di bawah PN keluar parti dan menjadi ADUN parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Kedua-dua gagasan serta SAPP adalah komponen Gagasan Rakyat Sabah.
Pada 2022, ahli Parlimen yang bertanding di bawah PN keluar parti dan menjadi ADUN parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Kedua-dua gagasan serta SAPP adalah komponen Gagasan Rakyat Sabah.
Samsuri nafi peletakan jawatan ada kaitan dengan SAPP
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional tidak ada kaitan dengan pengunduran Parti Maju Sabah (SAPP) daripada perikatan itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada keputusannya dibuat tanpa paksaan mana-mana pihak.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada keputusannya dibuat tanpa paksaan mana-mana pihak.
Anwar sahkan ada perbincangan penyertaan Tengku Zafrul
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan wujud perbincangan awal berhubung Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul, menyertai parti PKR.
Elaun PLKN 3.0 kekal RM8 sehari
Kementerian Pertahanan akan mengekalkan kadar elaun RM8 sehari kepada peserta PLKN 3.0 yang akan bermula Januari ini.
AWANI Ringkas: Elaun PLKN 3.0 RM8 sehari
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Harapan baru, masalah lama - S. Arutchelvan
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan memberi pandangan beliau mengenai kebangkitan pakatan pembangkang baru bagi menggantikan Pakatan Rakyat.
Lupakan tenaga nuklear, pelbagaikan tenaga boleh diperbaharui - PSM
Penggunaan tenaga nuklear dianggap satu tindakan merbahaya selain ia juga merupakan satu tenaga yang kurang digunakan di dunia kata Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia.
Polis, tolong bebaskan Arutchelvan segera - Dr Jeyakumar
Penahanan Arutchelvan disifatkan tidak sah dan sekali gus menyalahgunakan Akta Hasutan 1948 yang dicipta untuk menghalang kebebasan berucap dan memberi pendapat.