SUSULAN kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkait subsidi penternak semalam, timbul pelbagai persoalan berkenaan harga ayam yang akan dipasarkan mulai 1 Julai nanti.

Adakah harga ayam akan diapungkan? Adakah kerajaan akan hapuskan harga siling ayam? Bagaimana dengan peniaga kecil makanan, perlu menanggung kos kenaikan harga ayam?

Bagaimana pula nasib si penggemar nasi ayam? Terutama mereka yang tidak akan menerima bantuan tunai, pada masa sama perlu menanggung kos kenaikan berantai yang dijangka berlaku.

Tiada subsidi penternak, siapa tanggung beban?

"Bagaimana dengan nasib golongan M40? Sebab yang makan atau beli ayam itu tidak kira taraf pendapatan, terutama golongan M40 di peringkat paling bawah dan menghampiri paras B40 kerana mereka juga rasa begitu tertekan," itu reaksi awal Pakar Ekonomi, Datuk Madeline Berma.

Felo Akademi Sains Malaysia itu pada masa sama, menyambut baik keputusan kerajaan tersebut.

Namun, ada perkara yang perlu jadi kebimbangan.

Pertama, soal penyaluran subsidi makanan dan kedua, kenaikan harga barangan dan makanan selain ayam.

Harga ayam akan diapung? Tiada lagi harga siling? Apa jadi dengan harga nasi ayam?

Bercakap soal inflasi, kadar 2.3 peratus yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) seolah-olah perlu diteliti semula.

Ini kerana, kata Madeline, realiti di lapangan adalah berbeza.

"Orang tak percaya apabila inflasi 2.3 peratus. Pergi ke pasar, mana ada harga barang naik 2.3 peratus. Tengok harga sayur dan ikan.

"Ini realiti kita cerita tentang harga inflasi, sedangkan realiti di bawah kerana bagi saya ia perlu dikawal buat masa ni.

"Ia supaya ada keseimbangan dalam memenuhi keperluan pengguna, iaitu jangan terlalu tinggi naik harganya selain memastikan pengusaha penternak khususnya penternak kecil-kecilan kalau kerajaan tak bantu, lingkup dia," tegas beliau.

Penternak, pemborong, peruncit, peniaga mahupun pengguna kini menantikan perincian lanjut berhubung penarikan semula subsidi penternak tersebut serta penyaluran bantuan tunai langsung daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).