KUALA LUMPUR: Bermula hari ini, harga siling runcit ayam standard di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Jun lepas.

Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 45 sen sebiji bagi gred A; B (43 sen/biji) dan C (41 sen/biji) di Semenanjung.

Antara lain, keputusan tersebut dicapai selepas kerajaan putuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam, sebaliknya meneruskan subsidi.

BACA: Harga siling baru ayam RM9.40 mulai 1 Julai - Ronald

Keputusan turut mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum itu melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.

Pada 24 Jun, Perdana Menteri mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung.

BACA: Tarif elektrik dan air di Semenanjung kekal, harga ayam tidak diapungkan - PM

Manakala harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.

[
INFOGRAFIK] Harga Ayam Mengikut Negara-Negara ASEAN