KUALA LUMPUR: Kerajaan membuat keputusan untuk tidak menaikkan harga minyak masak kemasan botol meskipun harga minyak sawit mentah meningkat pada Mac berbanding Januari 2023.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan menanggung subsidi RM7 juta sebulan bagi memastikan harga produk itu kekal.

Menurutnya, kiraan itu dibuat berdasarkan anggaran penggunaan minyak masak kemasan botol digunakan rakyat iaitu sebanyak 25,000 metrik tan sebulan.

“Kita telah mengambil tanggungjawab…kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga runcit.

“Maka tiada kenaikan ini setelah kita adakan libat urus dengan pihak industri. Untuk itu, dalam kategori minyak masak kemasan botol 1 kilogram, harga satu botol ialah RM6.90.

“Untuk 2 kilogram, harganya RM13.30. Bagi 3 kilogram, harganya RM19.60 dan untuk 5 kilogram, harganya RM30.90.

“Kita tidak menaikkan harga minyak kemasan botol bagi kategori 1 hingga 5 kilogram,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen pada Isnin.

Menurutnya, harga minyak masak peket yang dijual pada harga RM2.50 di pasaran juga kekal.

Tambah beliau, harga minyak sawit mentah pada Januari 2023 ialah RM3,908 per tan metrik dan meningkat kepada RM4,139 per tan metrik pada bulan lepas.

Jelasnya, meskipun berlaku peningkatan harga sebegitu namun harga minyak masak di pasaran tidak akan dinaikkan selepas kerajaan mengambil kira kesukaran dihadapi rakyat terutamanya ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

“Mana-mana pihak yang menjual lebih daripada harga maksimum akan dikenakan tindakan oeh pihak berkuasa.

“KPND juga akan teruskan pemantauan di samping terus menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan,” ujarnya.