Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa harga siling pelitup muka yang kini ditetapkan pada harga RM1.20 mulai 15 Ogos ini akan dikurangkan lagi dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, KPDNHEP telah menyemak dan membuat penentuan semula harga siling pelitup muka tiga lapisan.

"Sebelum ini, KPDNHEP telah mengumumkan pelitup muka pada harga RM1,20 seunit mulai 15 Ogos ini.

"Namun memandangkan desakan dan maklum balas daripada pelbagai pihak, kami akan melihat berkemungkinan besar kita turunkan harga lagi pelitup muka tiga lapis kepada harga yang lebih rendah daripada yang kita cadangkan. Tunggu sedikit masa lagi," katanya ketika menggulung Titah Diraja di sini, pada Khamis.

Tambah Alexander, harga baharu siling yang berpatutan akan ditetapkan selepas perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

"Pada mulanya kita naikkan ke paras yang tinggi masa itu. Lepas itu kita letakkan pada harga RM1.50 seunit. Pihak KPDHNEP prihatin dengan keperluan pengguna di mana harga siling pelitup muka disemak semula.

Dalam pada itu, KPDNHEP juga, katanya, mengeluarkan arahan secara pentadbiran supaya kuantiti jualan runcit muka dihadkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi menjamin keberadaan pelitup (muka) dalam pasaran, KPDHNEP telah mewartakan larangan eksport pelitup muka sejak 18 Mac lalu di samping meningkatkan jumlah import.

"Kementerian berjaya menangani situasi tekananan harga dan bekalan pelitup serta sanitasi tangan tanpa mengabaikan kepentingan pihak pengimport, pengeluar tempatan dan pengguna," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 33,321 pemeriksaan dilakukan termasuk 54 kes dengan nilai rampasan RM518,951 dan kompaun RM382,400 kompaun dikeluarkan kepada peniaga sepanjang PKP.

"Kita juga mengenakan kompaun RM200,000 kepada hospital swasta kerana kesalahan menjual pelitup muka menlebihi harga maksimum," tegas beliau lagi.

Beliau turut memberitahu, langkah-langkah kawalan yang diambil oleh kementerian juga berjaya menstabilkan harga bekalan sehingga 99 peratus.