PUTRAJAYA: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan meneliti untuk menetapkan harga siling ayam dan mengkaji untuk membenarkan produk tersebut dieksport semula.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia akan dibuat setelah data pergerakan harga ayam di pasaran tempatan dan pergerakan harga bahan input makanan ayam serta yang berkaitan diperolehi.

Jelas beliau, jawatankuasa telah memberi tempoh seminggu untuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengemukakan laporan dan data berhubung perkara itu.

“DOSM perlu membuat satu kajian pengiraan di lapangan, dan berapa kos pengeluaran bagi setiap ekor ayam yang dikeluarkan di negara.

“Angka ini penting untuk jawatankuasa menentukan harga siling dan berlaku adil kepada penternak.

“Sementara Jabatan Perkhidmatan Veterina dikehendaki menentukan bagaimana pertalian antara bekalan termasuk ayam yang dibenar diimport dan ayam diimport yang disimpan sebagai stok penimbal, dan ayam yang dimasukkan ke pasaran.

“Selain itu, (ia juga akan) mengambil kira harga ayam yang dikeluarkan di pasaran dan menentukan jumlah bekalan yang ada semasa dan menentukan jumlah keperluan dieskport.

“Setelah angka tersebut dibentangkan kepada jawatankuasa, baru kita boleh putuskan sama ada kita nak kaji semula dasar tidak eksport ayam pada masa ini, dan dasar boleh diimport tanpa Permit Import (AP). Sehingga keputusan itu dibuat, semua pihak diminta bersabar,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Berkuat kuasa 1 Jun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melaksanakan sekatan eksport ayam membabitkan bekalan ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata jawatankuasa menerima rayuan daripada pelbagai pihak termasuk dari negeri Johor untuk mempertimbangkan kebenaran eskport ayam.

Rayuan tersebut katanya susulan daripada permintaan yang tinggi daripada Singapura, di mana harga ayam yang dijual di republik itu adalah lebih mahal.

Dalam pada itu, Annuar menambah jawatankuasa juga akan membincangkan dan mencadangkan kepada kerajaan langkah dan harga baharu bagi telur di pasaran sebelum berakhirnya tempoh Harga Maksimum pada 31 Ogos ini.