LENGGONG: Kerajaan Perak tidak berhasrat mengikut tindakan kerajaan Selangor yang menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8 sekilogram.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan dalam menentukan harga runcit bagi ayam standard di negeri ini.

Menurutnya, tiada jaminan bahawa rakyat negeri ini menerima manfaat sekiranya inisiatif itu dilaksanakan seperti kerajaan Selangor.

"Perkara seperti ini perlu dibawa dalam mesyuarat Exco dan dibincangkan secara bersepadu dengan kerajaan Persekutuan.

"Jika harga ayam di Perak lebih murah dari Pulau Pinang, siapa boleh beri jaminan hanya orang Perak sahaja yang beli atau harga ayam dijual jauh lebih murah daripada Selangor, maka berpusu-pusu orang Selangor menyeberangi Sungai Bernam untuk beli ayam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Kayuhan Muhibah Kesatuan Kakitangan Kemas Semenanjung Malaysia Cawangan Perak di Dewan Serbaguna Taman Kota Tampan di sini pada Ahad.

Menurutnya, meskipun pelaksanaan perkara itu kelihatan lebih baik untuk rakyat di negeri masing-masing, namun tiada mekanisme menghalang penduduk negeri lain datang membeli ayam sekiranya ia dijual murah di negeri ini.

"Kita berada di dunia tanpa sempadan, tiada mekanisme untuk menghalang orang negeri lain datang membeli barang murah di negeri kita.

"Oleh itu, perkara ini kita tidak boleh buat diperingkat negeri semata-mata dan pada pendapat saya, ia kena dibincangkan sekali dengan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8 sekilogram sebagai usaha menangani lonjakan harga barang makanan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program selama dua minggu itu memperuntukkan sebanyak 50,000 ekor ayam standard dengan pembelian dihadkan kepada dua ekor ayam bagi setiap individu.

Isnin lalu, kerajaan Persekutuan menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada RM9.10 kepada RM8.90 sekilogram.


*Berita asal di Sinar Harian