Skip to main content

Malaysia

Hargai seni sebagai asas pembinaan negara bangsa - Aaron

Hari Seni Sedunia disambut pada setiap 15 April bagi menghargai peranan seni dalam membentuk tamadun manusia serta memperkukuh keharmonian sejagat.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat Malaysia supaya terus menghargai, memelihara dan memartabatkan seni sebagai asas pembinaan negara bangsa yang bersatu padu, harmoni dan beridentiti kukuh. - Foto Facebook Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat Malaysia supaya terus menghargai, memelihara dan memartabatkan seni sebagai asas pembinaan negara bangsa yang bersatu padu, harmoni dan beridentiti kukuh.

Beliau menerusi hantaran di laman Facebook sempena sambutan Hari Seni Sedunia hari ini berkata seni memainkan peranan penting dalam membentuk tamadun manusia serta memperkukuh keharmonian sejagat.

Advertisement

“Sejak diperkenalkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sambutan ini menjadi wadah untuk mengiktiraf sumbangan para penggiat seni dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya saing,” katanya.

Aaron berkata tarikh 15 April dipilih bersempena kelahiran tokoh agung Leonardo da Vinci yang melambangkan kehebatan kreativiti, inovasi dan pemikiran merentas bidang.

Beliau berkata seni adalah bahasa sejagat yang mampu menyatukan manusia tanpa mengira latar belakang serta menekankan bahawa kepelbagaian seni di Malaysia yang lahir daripada lebih 200 etnik dan subetnik, termasuk tarian tradisional, muzik, kraf tangan dan seni visual moden mencerminkan kekayaan identiti negara.

“Seni menjadi jambatan yang merapatkan jurang perbezaan, memupuk rasa saling menghormati serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video