KUALA LUMPUR: Pelbagai aktiviti akan dianjurkan pada sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Kuantan, Pahang esok.

Perasmian sambutan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan.

Menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataan, antara aktiviti yang bakal diadakan adalah pertandingan mewarna, pertandingan reka cipta bahan kitar semula, pengumpulan buangan kitar semula, Kempen Hindari Plastik Sekali Guna, pelancaran buku Islam dan Alam Sekitar serta penyampaian Anugerah Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Peringkat Kebangsaan 2020/2022.

"Aktiviti lain melibatkan kempen pengumpulan e-waste, Aktiviti Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) dan juga acara Gambut Run sejauh 5 kilometer yang akan disertai oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," menurut kenyataan itu.

HASN yang disambut pada 21 Okt setiap tahun mengekalkan tema "Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama" dengan tambahan slogan "Menyantuni Alam Sekitar dan Keluarga Malaysia".

-- BERNAMA