Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan Pelan Tindakan Demensia 2021-2030 bagi memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan demensia secara holistik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini KKM mengambil beberapa inisiatif dalam meningkatkan liputan rawatan dalam penjagaan geriatrik.

"Bagi meningkatkan liputan rawatan, KKM juga telah mewujudkan ‘Memory Clinic’ di semua hospital yang mempunyai akses kepada penjagaan geriatrik dan klinik ini akan diperluaskan secara berperingkat.

"KKM akan terus menjalinkan kerjasama bersama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah menangani isu berkaitan Penyakit Alzheimer di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Pesakit Alzheimer perlu penjagaan rapi

Kenyataan itu seiring sambutan Hari Alzheimer Sedunia yang disambut setiap 21 September.

Tambah Dr Noor Hisham, setiap lapisan masyarakat dan individu hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam memberi sokongan dan bimbingan kepada pesakit Alzheimer, keluarga dan penjaga mereka.

Sehingga 2019, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebanyak 50 juta orang mengalami demensia di seluruh dunia dengan hampir 10 juta kes baharu dicatatkan setiap tahun iaitu satu kes setiap tiga saat.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2018 melibatkan kesihatan warga emas mendapati prevalens demensia di Malaysia adalah sebanyak 8.6 peratus.

Sumber Facebook DGHisham